Thursday, July 23, 2009

**Kedah Mampu Bangunkan Pertanian Tanpa Bantuan Pusat, Kata MB



SUNGAI PETANI, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kedah mampu melaksanakan projek-projek pembangunan sektor pertanian dalam negeri walaupun tanpa bantuan dan bajet kerajaan pusat, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan yang diperlukan, dan dengan kerjasama serta sokongan semua agensi termasuk pihak swasta, setiap projek yang dirancang tidak akan menghadapi masalah untuk dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang melarang semua pegawai agensi dan jabatan di bawah Kementerian itu menghadiri sebarang mesyuarat atau kursus anjuran kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.

Noh memberi alasan arahan itu dibuat berikutan kegagalan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menyumbang kepada dana atau bantuan buat agensi serta jabatan di bawah kementerian itu.

"Dalam menghadapi krisis makanan sedunia, kerajaan pusat seharusnya mengambil sikap bekerjasama dengan kerajaan negeri walaupun diperintah oleh pembangkang, mencari kawasan baru, dan meluaskan tanah pertanian," katanya.

Azizan yang ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Kedah Sejahtera 2009 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini hari ini berkata kerajaan negeri tidak akan merayu terhadap keputusan oleh kementerian tersebut.

"Terpulang pada dia. Dia tak sayang kami nak buat macam mana. Itu hak dia dan pandangan dia, terpulanglah. Kerajaan negeri masih mampu, gaji pegawai pertanian negeri kami yang bayar," tambahnya.

Beliau berkata kementerian itu seharusnya menggalakan kerjasama antara pusat dan negeri, tetapi jika kerajaan pusat enggan bekerjasama, pihaknya tiada kuasa untuk menghalang.

-- BERNAMA

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino