• Mesej palsu tersebar Mesej palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
1 / 1
SHAH ALAM – Mesej berangkai yang mendakwa sebuah kilang biskut mempunyai stor arak kembali disebarkan di aplikasi sosial Whatsapp.

Mesej berkenaan yang turut mendakwa arak dicampurkan ke dalam biskut jenama berkenaan telah disebarkan sejak 2011, kononnya dimaklumkan sendiri oleh pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

Susulan itu, Sinar Harian menghubungi nombor yang tertera di mesej berkenaan bagi mendapatkan kepastian.

Nombor tersebut hanya dijawab setelah empat kali panggilan dibuat dan pemilik nombor berkenaan  menafikan beliau merupakan pegawai Jakim tersebut.

Menurutnya, beliau mendapat mesej yang mengandungi nombornya itu sejak seminggu lalu.

“Saya dapat mesej ini melalui Whatssap. Sejak itu ramai yang menghubungi saya untuk bertanya kesahihannya.

“Sedangkan saya tiada kaitan dengan pegawai Jakim berkenaan. Saya hairan bagaimana nombor saya digunakan dalam mesej itu,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini beliau belum terfikir untuk membuat laporan polis walaupun terganggu dengan pelbagai panggilan telefon.

“Apa yang boleh saya lakukan ialah tidak menjawab panggilan telefon daripada individu tidak dikenali. Namun, jika ada yang menghantar mesej, saya akan membalas dan memberi penjelasan sebenar,” katanya.