Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan diesel dan minyak petrol RON95 naik 20sen seliter mulai tengah malam ini.

Najib mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

fuel hike chart 020913Menurutnya, ini salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan,

Sehubungan itu, RON95 akan berharga RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 seliter.

Ini kenaikan pertama sejak kenaikkan sama pada Disember 2010.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga menteri kewangan.

Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

NONEBagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet.

Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali.

Jimat RM1.1 bilion tahun ini
Perdana Menteri berkata melalui dasar rasionalisasi subsidi bahan api ini yang akan bermula esok, kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM1.1 bilion pada tahun ini.

"Bagi tahun sepenuhnya, kita menjangka kira-kira RM3.3 bilion, tetapi tahun ini kerana kita akan bermula esok pagi, jumlah itu kira-kira RM1.1 bilion, kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata untuk menangani lebihan akaun semasa yang berkurangan, pelaksanaan projek-projek sektor awam akan dipertimbangkan dengan teliti.

NONE"Projek-projek yang mempunyai kandungan import yang rendah akan diberi keutamaan dan kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.

"Manakala, pelaksanaan projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi akan disusun mengikut jadual yang sewajarnya supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada imbangan pembayaran," kata beliau.

Bagaimanapun, jelas Najib projek Mass Rapid Transit Jajaran 1, 2 dan 3 akan diteruskan seperti dirancang dan Projek Rel Kelajuan Tingi Koridor Selatan pula masih dalam proses rundingan.

"Kita akan meneliti mana satu projek yang akan dijadualkan semula dan mana projek yang akan diteruskan," tambahnya.

Menurut Perdana Menteri dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan lagi pasaran eksport negara.

"Pelancongan, sumber terimaan luar yang besar akan diberi tumpuan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014," kata beliau.

Najib berkata Jawantankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah menekankan bahawa komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan 3.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020.

"Melalui penilaian FPC, persekitaran luar didapati semakin mencabar," kata beliau dan menambah bahawa lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang sederhana di samping defisit fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada ekonomi.

Oleh itu, langkah mengukuhkan kedudukan fiskal adalah penting untuk mengekalkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan lagi keyakinan rakyat dan pelabur, kata Perdana Menteri.

"Pada masa ini, subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah dalam kalangan mereka yang berpendapatan tinggi dan rakyat asing.

"Oleh itu, kita perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas," kata beliau.

'Inflasi masih rendah'
Menjawab mengenai kemungkinan kenaikan inflasi selepas kenaikan harga bahan api tersebut, Najib berkata inflasi pada masa ini masih rendah dan dijangkakan kesan itu tidak akan memudaratkan rakyat.

"Mungkin peningkatannya tidak begitu tinggi," kata beliau.

Semasa ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: "Apa sahaja berkaitan GST akan diumumkan dalam ucapan belanjawan."

Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata ringgit mendapat kesan ekonomi luar dan di luar kawalan negara.

"Bank Negara menyedari akan hal ini dan tidak memberi kita tekanan yang tidak wajar pada masa ini tetapi kita percaya apa yang penting ialah untuk mengukuhkan asas ekonomi," kata beliau.

sumber:malaysiakini