Solat
Ghaib adalah solat terhadap jenazah ahli keluarga atau saudara seagama
yang meninggal di tempat yang jauh atau kepada jenazah yang telah
dikebumikan tetapi tiada kesempatan bagi ahli keluarga si mati untuk
menyembahyangkannya.
Asal kepada permasalahan ini ialah
perbuatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersembahyang ke atas jenazah
Raja Najasyi, Raja Habsyah yang wafat. Dalam hadis Abu Hurairah:
أن رسول الله صلى الله عليه و سلم نعى النجاشي في اليوم الذي مات فيه خرج إلى المصلى فصف بهم وكبر أربعا
"Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengumumkan berita
kematian Najasyi pada hari beliau wafat. Baginda keluar ke musolla,
membuat saf dengan sahabat, dan bertakbir sebanyak empat kali". (Direkod
oleh Bukhari no: 1188 dan Muslim no: 951).
Sebahagian ulama
mengambil hukum dari umum hadis ini, iaitu boleh dilakukan solat jenazah
ke atas mayat yang berada jauh seperti di negara lain.
Ada
juga ijtihad ulama yang mengkhususkan amalan solat ghaib untuk jenazah
pembesar-pembesar sahaja, seperti para ulama atau pemimpin. Sebagaimana
Nabi Sallallahu Alahi Wasallam lakukan kepada jenazah Najasyi, tetapi
tidak pernah ada riwayat baginda solat jenazah ghaib terhadap
sahabat-sahabat baginda yang wafat di negeri lain.
Sebahagian
pula mengkhususkan ia hanya khas bagi orang Islam yang mati di tempat
lain yang tidak disembahyangkan ke atasnya di negara mereka. Kerana Raja
Najasyi wafat di negara Habsyah yang merupakan negara Kristian.
0 comments:
Post a Comment