Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa mengurus jenazah orang Muslim atas rasa iman dan ikhlas, turut solat jenazah bersama-sama dan menguruskan pengebumiannya sehingga selesai, maka orang itu pulang membawa pahala dua qirat ; satu qirat kira-kira sebesar bukit Uhud. Dan sesiapa mengikut solat jenazah sahaja, kemudian dia pulang sebelum dikebumikan, maka orang itu pulang membawa pahala satu qirat." (Riwayat al-Bukhari, jil. 1, no.0039)
Kematian
Kematian adalah satu kepastian yang tidak boleh dielakkan oleh setiap manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)." (Surah al-Ankabut : 57)
Tiada siapa yang tahu di bumi mana dia akan meninggal dunia, atau bila tarikh dan waktunya. Oleh sebab itu persiapan dan persediaan kita untuk menghadapinya perlulah dibuat sekarang dan harus diberi keutamaan. Ketika hidup inilah kita perlu melakukan banyak amal dan ibadah sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak.
Setiap hari berlalu dengan seorang demi seorang anggota keluarga, sahabat handai, rakan kenalan kita meninggalkan dunia ini dengan sebab kematian. Apakah mereka membawa amalan yang cukup atau tidak, ia bukan persoalan kita. Namun menjadi tanggungjawab kita yang masih hidup ini ialah menguruskan jenazah. Hukumnya fardu kifayah bagi mereka yang berkelayakan mengurusnya.
Urusan Jenazah
Berdasarkan hadis di atas, walaupun urusan jenazah adalah fardu kifayah, maka sewajarnya mereka yang hadir itu mengambil peluang menguruskannya. Mereka yang tidak pandai boleh belajar secara praktikal di situ juga atau pada masa-masa yang lainnya. Mereka yang lebih layak melaksanakannya ialah ahli keluarga sendiri ; iaitu suami atau isteri, anak, bapa dan ibu.
Sungguh hebat pahala atau ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ikhlas mengendalikan urusan jenazah. Apatah lagi jikalau jenazah itu adalah saudara terdekat kita, maka kitalah yang lebih afdal untuk melakukannya.
Apabila seseorang itu disahkan telah meninggal dunia, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah merapatkan mulutnya dengan mengikat kepala hingga ke dagu. Seterusnya ditutupkan matanya perlahan-lahan. Kemudian lembutkan sendi-sendi kaki dan tangannya. Gunakan minyak untuk mudahkan urutan. Setelah itu uruskan empat perkara berikut :
- Memandikannya.
- Mengapannya.
- Menyembahyangkannya.
- Mengebumikannya.
Walaubagaimanapun, tidak semua jenazah boleh dimandikan. Terdapat tiga
golongan yang tidak boleh kita mandikan sebelum dikebumikan. Mereka itu
ialah :
- Orang bukan Islam, walaupun dia terlalu rapat dengan kita, tidak boleh kita mandikannya.
- Orang yang syahid dalam medan perang kerana mempertahankan Islam. Hal ini kerana darah pada baju dan tubuhnya menjadi saksi syahidnya.
- Jenazah yang reput akibat terbakar atau seumpamanya. Jenazah ini cukup ditayamumkan sahaja.
Peralatan Mandian
- Tempat mandi yang sesuai ; sebaiknya tempat itu sudah khusus untuk memandikan jenazah. Siap dengan saluran air keluar dan masuk.
- Air mutlak.
- Daun bidara.
- Sabun yang boleh membersihkan najis.
- Kapur barus.
- Air mawar.
- Sarung tangan, kain putih (untuk memeriksa kebersihan bahagian anggota sulit)
- Putik kapas untuk membersih rongga-rongga kecil.
- Penutup mulut, apron, kain basahan, kain gantian, dan clorox (untuk pesakit HIV).
13 Langkah Mandi Jenazah
Setelah jenazah diusung ke bilik urusan mandi oleh saudara maranya. hendaklah diletakkan ditempat mandi. Dan lakukan yang berikut :
Setelah jenazah diusung ke bilik urusan mandi oleh saudara maranya. hendaklah diletakkan ditempat mandi. Dan lakukan yang berikut :
- Baringkan jenazah secara terlentang di atas tempat mandi, pastikan mukanya menghadap kiblat, dan tempat itu hendak tertutup (beratap di atas). Pastikan aurat jenazah terjaga sepanjang tempoh mandi.
- Basahkan seluruh badan jenazah.
- Buang najis qubul dan dubur (gunakan sarung tangan, jangan sesekali menyentuh kulit ke kulit)
- Sabunkan seluruh badan jenazah dan buang kotoran (elakkan menyabun tempat-tempat terbuka yang menyebabkan rasa pedih seperti di mata). Sebaiknya mulakan sabun pada bahagian kanan badan dahulu.
- Jiruskan air mutlak dengan penuh adab dan jirusan yang tidak terlalu deras (jangan berkasar, kerana walaupun tiada roh, ia masih merasai malu dan sakit kesan daripada sakaratul maut yang tidak terperi sakitnya).
- Bersihkan rongga terbuka seperti telinga, hidung dan gigi menggunakan putik kapas.
- Setelah selesai, disunatkan untuk mengambil wudhu' untuk jenazah dengan niat : "Sahaja aku mewudhu'kan ke atas mayat ini kerana Allah SWT." *Pada bahagian yang tidak sampai air, hendaklah ditayamumkan baagian itu.
- Mulakan mandi jenazah dengan mencurahkan air dari bahagian kepala dengan menggunakan air bercampur daun bidara. Waktu ini perlukan niat mandi : "Sahaja aku mandikan mayat ini kerana Allah Taala."
- Basuh bahagian lambung kanan dari bahu, ketiak, tangan kanan, dada rusuk, perut, kemaluan hingga ke kaki.
- Lakukan yang sama di sebelah kiri.
- Iringkan mayat di sebelah kiri dan siram dari kepala ke kaki.
- Iringkan mayat di sebelah kanan dan siram dari kepala ke kaki.
- Tutupkan mayat dengan kain nipis, kemudian siramkan dengan air larutan kapur barus ke seluruh badan.
Setelah selesai, lapkan mayat dengan kain yang disediakan hingga kering
sebelum dibawa ke tempat mengapankan. Namun pastikan dahulu kain kapan
untuk si mati sudah siap supaya mayat dapat terus diletakkan pada kain
kapan tersebut.
Setiap orang perlu mencuba sekali sebagai persiapan kalau-kalau berlaku
apa-apa kejadian dalam keluarganya. Rasa takut terhadap mayat harus
dibuang jauh-jauh. Selamat mencuba.
0 comments:
Post a Comment