Friday, July 12, 2013

Keberkatan Sahur Dan Kurma


BERSAHUR untuk berpuasa termasuk sunnah Nabi Muhammad saw. Sahur bermaksud makanan atau santapan yang diberkati. Bersumber daripada Aisyah, beliau berkata: “Rasulullah saw bersabda: - Bawalah kepadaku santapan yang diberkati itu, iaitu sahur. Kadang-kadang Rasulullah makan sahur hanya dengan dua biji kurma."

Rasulullah menganjurkan supaya makan sahur melalui sabdanya bermaksud: “Makan sahurlah kerana sesungguhnya dalam makan sahur itu ada berkat.”
Termasuk sunnah Rasulullah ialah mengakhirkan sahur. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda maksudnya: “Makan sahurlah pada akhir malam.”
Diterangkan pula, Rasulullah biasanya makan sahur kemudian terus keluar untuk bersolat. Hikmah sahur dan fadilat mengakhirkannya disebut oleh Rasulullah antara lainnya:

- Ia mempunyai unsur berkat. Makanan apa pun yang mengandungi berkat akan membantu seseorang dalam mentaati perintah Allah;
-Untuk membezakan antara puasa yang dijalankan dengan puasa ahlil kitab.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis sahih yang bersumber daripada Amru Ibnu bahawa sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahlil kitab ialah pada makan sahurnya."; dan
- Untuk membantu puasa itu sendiri seperti dijelaskan hadis yang bersumber daripada Ibnu Abbas dan diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud: “Mintalah bantuan makan sahur untuk mengatasi puasa pada siang hari. Dan mintalah bantuan istirahat sebentar pada siang hari agar kuat menjalani ibadah pada malam harinya.”
Dianjurkan bersahur bukan bererti makan sebanyak-banyaknya. Apa yang penting untuk mendapatkan fadilat serta sunnahnya, walaupun dengan makan sedikit.
Dalam hadis Jabir ditegaskan bahawa Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang akan puasa hendaklah dia makan sahur, sekali pun hanya sedikit.”
Ulama turut membahaskan bilakah waktu yang paling afdal untuk bersahur.
Daripada hadis, ulama membuat kesimpulan bahawa adalah lebih afdal melewat-lewatkan sahur hingga betul-betul hampir masuk waktu fajar.
Imam al-Baihaqi melalui sanad sahih menyebut “adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad itu orang yang menyegerakan berbuka puasa dan melewat-lewatkan sahur.”
Nabi juga pernah bersabda, maksudnya: “Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambat-lambatkan sahur.”
Sebenarnya waktu bersahur itu adalah luas bermula dari waktu malam hari hingga masuk waktu fajar dan
 yang lebih afdal ialah ketika waktu Subuh hampir masuk.


1. Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis di Minda Tajdid:

Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w.

2. Ustaz Shahrizan Daud Al-Turabi berkata dalam Seminar Impactive Ramadhan 2013 yang lepas, waktu imsak adalah waktu sahur yang terbaik. Tapi jangan time tu nak makan makanan berat seperti Nasi dan lauk. Cuma, waktu itu sunat kita mengikut cara Nabi, dengan memakan Kurma dan minum air.

3. Ustaz Shahrizan sebut lagi, kalau nak makan sebelum waktu itu (pukul 12-5 pagi) pun tak mengapa, tapi ambillah sunnah melewatkan bersahur dengan makan sedikit kurma beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh.

 
 

Kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar.  Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran. 

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW:  Sebaik-baik makanan sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino