Pada suatu
hari, pagi-pagi sekali, Haji Ibrahim datang menemui Syeikh Mabruk dan
memberinya kerja menggali kubur keluarganya yang baru meninggal. Kali
ini yang meninggal adalah anak lelakinya. Inilah yang kelima kalinya
Haji Ibrahim kematian anak.
Setiap tahun kesedihan Haji Ibrahim
selalu berulang, kerana setiap kali dikurniai seorang putera, maka
tidak berapa lama permata hatinya itu meninggal dunia.
Syeikh Mabruk sangat terharu. Dia berkata kepada Ibrahim dengan nada sinis:
"Sesungguhnya
engkaulah yang lebih layak mendoakannya berbanding aku. Engkau sudah
haji. Sudah berkunjung ke makam Nabi. Aku apa? Aku hanya berkunjung
dari satu penjara ke penjara yang lain dan dari kaki lima ke asrama
kanak-kanak nakal. Ketakwaanku kepada Tuhan pun telah engkau lihat
sendiri. Bagaimana mungkin aku boleh mengangkat wajahku memohon untuk
orang lain?"
Namun Haji Ibrahim terus merayu sambil menangis:
"Sampai parau suaraku berdoa, telah kulakukan solat dan puasa, namun
langit belum menyambut doaku. Aku mohon sangat, doakanlah puteriku
satu-satunya, wahai Syeikh Mabruk. Allah lebih mengetahui isi hati
manusia. Tolonglah aku, doakanlah puteriku. Jangan engkau tolak
permohonan ayah yang malang ini."
Selepas mengucapkan kata-kata
itu, Haji Ibrahim teresak-esak dengan wajah yang sangat menyedihkan.
Betapa luluh hati Syeikh Mabruk melihatnya.
Tanpa diduga
tiba-tiba Syeikh Mabruk menadahkan kedua-dua tangannya tinggi-tinggi
dengan penuh kesungguhan, meskipun wajahnya nampak seperti orang yang
menahan malu menatap ke hadirat Tuhannya. Dengan sesegala kerendahan
hati dan di antara derai air matanya, ia memanjatkan doa kepada
Tuhannya:
Ya Rabbi, sembuhkanlah anak itu, kerana tiada lagi yang kuasa menyembuhkan kecuali Engkau, ya Tuhan, berilah dia kesihatan, kerana tiada yang mampu memberinya kecuali Engkau, ya Tuhan."
Setelah
Mabruk menyelesaikan doanya, tanpa ada yang menyuruh kedua-dua lelaki
itu berpelukan sambil menangis. Satu peristiwa yang belum pernah mereka
alami sejak lahir ke dunia. Tidak lama kemudian Haji Ibrahim pun
pulang dan mereka berpisah.Keesokan
harinya, Haji Ibrahim datang semula ke perkuburan itu mencari Syeikh
Mabruk. Dia mencari ke setiap penjuru, namun Syeikh Mabruk tidak
kelihatan. Haji Ibrahim bertanya kepada orang-orang yang berpapasan
dengannya:
"Di mana Syeikh Mabruk? Tunjukkan kepadaku di mana
dia! Puteriku sudah sembuh dari lumpuhnya! Dia sudah boleh berdiri dari
kerusi rodanya dan sudah boleh berjalan sendiri. Doktor kata peristiwa
itu sebagai sesuatu yang ajaib. Aku mahu jumpa Syeikh Mabruk, di mana
aku boleh menemuinya? Katakan, di mana?"
Haji Ibrahim tidak tahu
apa telah berlaku kepada Syeikh Mabruk. Subuh tadi, Syeikh Mabruk
telah berpulang ke rahmatullah. Dia meninggal setelah selesai
menyampaikan permohonan ampunnya, sebagaimana yang biasa ia lakukan
sebelum tidur. Mabruk sentiasa memohon kepada Tuhannya dengan doa ini:
"Tuhanku, ampunilah aku. Tiada yang kuasa mengampuni segala dosaku,
kecuali Engkau. Tuhanku, betapapun banyaknya dosaku, semuanya takkan
membawa kerugian bagi-Mu. Dan betapapun banyaknya taatku, takkan membawa
manfaat sedikitpun bagi-Mu, ya Tuhan. Engkau Maha Kaya lagi Berkuasa
di alam semesta ini.
"Tuhanku, betapapun besarnya dosaku, keampunan-Mu lebih agung dari
semua itu. Betapapun besarnya kejahatanku, ihsan-Mu lebih besar
daripada semua yang ada.
"Maha Suci Engkau, ya Tuhan, begitu luas rahmat dan pengetahuan-Mu.
Kasihanilah aku, ya Tuhan, kerana kelemahanku dan ketidak mampuanku ini.
Engkau sendiri telah berfirman:
"Manusia diciptakan dalam keadaan lemah."
" Oh Tuhan, terimalah dan tempatkanlah aku bersama golongan yang suka merendah diri yang selalu takut kepada-Mu.
"Oh Tuhanku, Engkaulah Tuhan dan aku hamba-Mu. Engkau Wujud dan aku
tiada. Maha Suci Engkau, aku tidak pernah memiliki dan berkuasa terhadap
diriku sendiri, walau sedetik pun.
"Oh Tuhanku, aku serahkan diriku kepada-Mu. Kuserahkan segala
kelemahanku kepada-Mu. Kuserahkan hakikat diriku kepada-Mu. Kuserahkan
segala iradatku kepada-Mu. Kuserahkan hidupku kepada-Mu. Tiada yang
lebih mampu dan lebih kuat kecuali Engkau, ya Tuhanku!
"Kerana Engkau, aku hidup. Kerana Engkau, aku mati. Kerana Engkau, aku
dibangikitkan semula. Kerana Engkau, kuterima pengampunan. Dan kerana
Engkau juga, aku dapat memasuki syurga-Mu."
***
Denyut
nafas Syeikh Mabruk keluar satu demi satu, keluar lalu terbang ke
langit menyambut datangnya fajar dan azan Subuh pagi itu. Hidupnya
diserahkan semula kepada Tuhannya.
Berakhirlah
kisah seorang manusia dari kumpulan terbuang yang banyak berbuat
kesalahan, namun selalu mencuba mendekatkan diri kepada Tuhannya.
Sudah tentu dia lebih baik dari orang yang selalu merasa diri paling
taat, paling baik, atau paling soleh tetapi pada waktu yang sama
kesombongannya lebih besar berbanding ketakwaannya.
Seorang hamba diampuni Tuhan,
kerana dia tahu diri, tahu menempatkan dirinya. Meskipun dia berasal
dari kumpulan yang terdampar. Meskipun dia keluar dari pintu-pintu
yang sempit di lorong-lorong yang remang.
0 comments:
Post a Comment