Kadang-kadang
ada yang memberi jawapan tentang sesuatu hukum itu mengikut ‘rasa’,
seperti soalan anda tentang hukum menari yang diamalkan oleh puak sufi
seperti di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga
ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.
Jawapan bagi
persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran
hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu
orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan
duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan
tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami!
Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-’Imran ayat
191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul
Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW
berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang
berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan
bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Dalam satu
riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu
Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah
SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada
beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan
daku.”
Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus
ditakbirkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku
beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh
Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul
sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan
oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.
Sahlah
berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang
muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak
diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang
persoalan tari- menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan
mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”
Semua
jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah
‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi
Talib r.a. Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur
lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam
majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup
aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat
dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian,
tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas
kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang
lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat
dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok
dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan
anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan
(body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi
dibuat kerana Allah SWT. Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian
dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk menyatakan haram
atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil.
Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa,
“Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya
haram.”
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di
atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya
menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
Wallahu ta’ala a’lam.
Itadakimasu...
2 years ago
0 comments:
Post a Comment