Sunday, June 06, 2010

Ujian Kesakitan Dari Allah


Kalau kita diberi ujian kesakitan oleh Allah,bermakna Allah masih sayangkan kita,kesakitan itu adalah kifarah diatas dosa-dosa yang ada dibuku catatan kita. Benar sekali,jangan kita leka dengan nikmat kesihatan,cuba renung Firaun,sepanjang hidupnya,tak pernah dihinggap selsema pon,sebagai istidraj.

Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Tidak ada satu kesusahan, yang menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” Surah Al-Hadid ayat 22-23.
Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana itu ini menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia.
Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.
Penutup: Maka bersyukurlah atas nikmat ini
Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan.
Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?
Ada antara kita menyumpah Allah kerana menyukarkan kehidupan kita.
Namun Allah SWT berfirman:
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu” Surah Asy-Syura ayat 30.
MasyaAllah… sudahlah segala bencana, sakit, adalah disebabkan oleh kita – tak jaga kesihatan, buat makar, buat onar, dll - tetapi Allah ampunkan sebahagian besar dosa kita atas bencana yang datangnya kerana kita.
Bukankah kita sentiasa mendegar: Sakit itu kaffarah dosa?
Di sini kita muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit itu nikmat, yang tidak boleh kita biarkan ia berlalu sia-sia.

http://gadiskalispeluru.blogspot.com/

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino