Monday, June 21, 2010

Rama-rama dan cinta Lelaki


Rama-rama dan cinta Lelaki

Wanita dijadikan dari tulang rusuk kiri, bukan dari tulang kepala untuk memerintah lelaki dan bukan juga tulang kaki untuk menghamba diri pada lelaki, tetapi tulang yang dekat dengan jantung lelaki...untuk merasai setiap degup jantung lelaki yang mencintainya dengan penuh kehormatan dan kasih sayang."

Wahai wanita, anda adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya anda yang bernama wanita. Tanpa anda dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yang mendiami bumi ini akan ketandusan kasih. Dunia pasti tidak menarik untuk didiami. Rasanya dunia akan penuh dengan kekejaman dan perbuatan2 'sampai hati' sesama sendiri

Wahai wanita, anda ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Anda telah menyempurnakan keindahan bunga. Sempurnalah keindahan apabila bunga dikitari sang rama-rama. Namun anda yang bernama wanita, mengapa ramai sekali yang sengaja merosakkan diri di tengah2 kebuasan lelaki.

Memang keinginan untuk berteman fitrah insan, tapi tak usah mangsakan diri anda untuk lelaki yang kurang perasaan. Tamsilkanlah diri anda sebagaimana rama-rama. Keindahan anda mudah terlerai sebagaimana mudahnya rama-rama terlerai daripada keindahannya apabila ia disentuh.

Tatkala rama-rama sudah hilang keindahan, tiada siapa akan pedulikannya lagi. Memang ramai wanita berasa bangga apabila ia digilai ramai lelaki. Tapi wahai wanita, sayap anda yang indah itu pasti luntur sedikit demi sedikit, melekat dijari lelaki tatkala dia menyentuh anda, sebagaimana sayap rama-rama berpindah coraknya kejari anda tatkala anda menyentuh serangga yang kecil itu.

Apakah anda tidak berasa rugi? Apakah anda tidak berasa apa-apa yang hilang?

Jika anda seorang wanita sejati, anda patut berasa rugi sebab ketahuilah, lelaki amat berbangga sekali apabila dia dapat meletakkan tangannya keatas tubuh anda sedangkan dia tahu, dia tidak berhak berbuat begitu. Bezanya lelaki dengan wanita, lelaki tidak kehilangan apa-apa biar berapa ramai wanita yang berada disekelilingnya, tapi anda pasti rugi setiap kali ada tangan2 yang tidak berhak hinggap di tubuh anda.

Hanya dengan sekali sentuh corak rama-rama sudah boleh musnah, kalau dua kali sentuh mungkin seluruh coraknya tiada, kalau tiga kali sentuh tidak mustahil sayap yang asalnya indah itu terkoyak. Jatuhlah sang rama-rama diatas tanah tanpa siapa mempedulikannya lagi.

Lihatlah kehidupan dari sudut yang begini. Agar dengan itu anda dapat memelihara diri daripada menjadi habuan sang lelaki yang hanya ingin mencalitkan noda keatas diri anda. Apa untungnya digilai dan diminati, kemudian berkorban sesuatu apabila ditagih atau diragut dengan kasar, kemudian anda ditinggalkan pergi. Di manakah nilai anda setelah jatuh ke tanah dan kedua2 belah sayap anda telah tiada.

Wahai wanita, kasihilah diri anda dengan menjadikan diri anda berharga. Nilai anda tentu terletak pada harga diri yang hanya sanggup dibayar oleh seorang lelaki dengan harga kejujuran. Apalah ertinya digilai kalau yang menggilai hanya lelaki yang tidak tahu diri.

Anda sama sekali tidak berharga biarpun tinggi nilainya di mata lelaki yang tahunya melihat anda sebagai 'alat'. Tapi anda ibarat mutiara dipuncak bukit di mata seorang lelaki yang jujur. Memang sukar sedikit untuk mencari mereka. Biar terlewat, sebab bersikap pemilih daripada tersalah pilih. Lelaki terbaik tidak mudah ditemui di mana-mana. Dia satu dalam seribu. Sudah tentu untuk mencarinya payah. Itu lebih baik daripada bertemu insan yang salah, sudahnya hanya mencemarkan hidup anda.

Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada hidup berdua tetapi menjadi pencetus dosa ke neraka. Biar hidup seorang dan berenang menuju TUHAN dengan selesa dan bahagia, daripada hidup berdua dan merasakan diri masih menggoda untuk semua. Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri. Biar lambat bertemu jodoh tetapi tinggi peribadi daripada cepat jodohnya tetapi tidak lama ditinggalkan pergi.

Biar menjadi rama-rama dengan sayapnya yang terang dan indah daripada sang kelkatu yang menerjah api. WAHAI WANITA, HARGA DIRI ANDA, ANDA yang MENENTUKAN..

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino