Persoalan pertama berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.
Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.
Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat,
tidak boleh
mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau
dengan puasa sunat yang lain.
Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak
sah, sama ada bagi yang fardhu ataupun yang sunat. Pendapat ini
bertepatan dengan sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian
diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa
setahun”. (HR Muslim)
Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang
dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu
menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian
ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa
sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]
Pendapat kedua: Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa
ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang
berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.
Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang
berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]
Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu
pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak
disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih.
Mereka juga mengatakan bahawa
amalan ini hanya mendapat pahala kerana
kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat
tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan
solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala
sunat tahiyyatul masjid)
Timbul persoalan,
yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi
memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam
Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? Dalam persoalan ini terdapat
dua pendapat.
Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ
أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )
Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha
kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR
Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah
penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah
tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa
sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada
bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat
Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.
Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang
menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW
mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan
puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.
“Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus
berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam
hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan
dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan
Ramadannya terlebih dahulu.” [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth
wal Ifta', 10/392]
Sekiranya diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih
rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu
sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan
daripada memberi sedekah yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran
untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan
bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya,
maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang
dilakukan oleh Aishah RA.
Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:
“Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan
langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih
setelah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau
terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang.
… dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah.”
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]
Imam An-Nawawi RH berkata:
“Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6
hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah
melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang
memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga
dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut.
Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga
pendapat Ahmad dan Abu Daud.” [Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab]
Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang
baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya
seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang
bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment