Thursday, November 08, 2012

Tiada antibiotik dalam produk Ayamas


KUALA LUMPUR: Keputusan ujian makmal terhadap 31 sampel produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) mendapati tiada kandungan antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau telah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan kementerian untuk mengambil 15 sampel dari kilang syarikat itu dan 16 sampel dari pasaran untuk diuji.
"Siasatan makmal yang dibuat menunjukkan bahawa tiada kandungan Chloramphenicol, kalau ada, tindakan segera akan kita ambil untuk keluarkan produk itu dari pasaran," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Liow berkata kementerian memantau produk dari Ayamas sejak 2009 hingga sekarang dan mendapati tiada kandungan antibiotik itu pada produknya.
Media melaporkan pada Khamis lepas bahawa kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.
Sementara itu, beliau berkata kementerian tidak menggalakkan pengambilan stevia dalam kegunaan harian kerana tahap kemanisannya 200 ke 300 lebih tinggi daripada gula.
Liow berkata kementerian juga tidak melarang orang ramai mengambil stevia, bagaimanapun mereka yang ingin berbuat demikian, perlulah dipantau oleh doktor ataupun pakar pemakanan.
Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan kemanisan yang terlalu tinggi akan menyebabkan mereka terbiasa dengan tahap manis, katanya.
Beliau berkata penggunaan stevia di dalam pemprosesan makanan dibolehkan kerana kadar kemanisannya dikawal rapi.
"Kita perlu lihat cara penggunaannya, kalau gula biasa kita sudah biasa, penggunaan stevia hanya dalam pemprosesan makanan dan tidak boleh dalam penggunaan harian, tetapi kalau rakyat nak ambil, perlu pendidikan secukupnya terhadap stevia," katanya.
Persidangan Dewan disambung pada 19 November kerana Dewan tidak akan bersidang selama seminggu sempena perayaan Deepavali pada 13 Nov dan sambutan Awal Muharam pada 15 November. - BERNAMA

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino