HADIS-HADIS MENGENAI ISTERI YANG SOLEHAH..
Kepada setiap wanita yang sudah bersuami, atau yang bakal membina rumah tangga serta peringatan kepada diri sendiri juga.. Perhatikanlah betapa tingginya darjat suami kita terhadap kita dan jangan sesekali meremehkannya. Juga, lihatlah betapa tingginya ganjaran buat para isteri..
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Apabila seseorang wanita solat 5 waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan MENTAATI SUAMINYA maka akan dikatakan kepadanya: Masukilah syurga dari mana-mana pintu yang kau kehendaki.” (Riwayat Ahmad dan dihukum Sahih oleh Al Albaani)
“Kalau saja aku boleh menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh para wanita untuk bersujud kepada suami mereka. Seorang wanita itu belumlah memenuhi seluruh hak Allah terhadapnya sampai ia memenuhi seluruh hak suaminya terhadapnya. Iaitu kalau suaminya menginginkan dirinya sedang ia berada di atas pelana, maka ia akan memenuhi keinginan suaminya itu.” (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan yang lain dengan lafaz yang mirip. Dan dishahihkan oleh Syaikh al Albani dalam “Ash Shohiihah” 1203.)
Rasulullah S.A.W juga bersabda:
“Kalau saja kedua lubang hidung suaminya mengeluarkan darah dan nanah, kemudian ia jilati dengan lidahnya, ia belumlah memenuhi hak suamimu itu. Kalau sahaja manusia itu pantas bersujud kepada seorang manusia lain, maka aku akan menyuruh para wanita untuk bersujud kepada suami mereka ketika para suami itu masuk mendatangi mereka karena keutamaan yang telah Allahberikan kepada para suami di atas para istri.”
Dikeluarkan oleh Al Hakim dan yang lain. Ia berkata: isnadnya shahih namun tidak dikeluarkan oleh Bukhori dan Muslim.
ISTERI ADALAH PEMIMPIN DI RUMAH SUAMI
Wanita yang beragama berupaya mendidik anak-anaknya dengan sempurna. Dia tahu dan sedar bahawa dirinya adalah ketua di rumah suaminya. Bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak diberikan didikan agama yang secukupnya. Oleh itu, dia sentiasa memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna dari segi rohani dan jasmani. Jadi, suami yang meninggalkan anak-anaknya bersama isteri kerana mencari rezeki tidak akan bimbang kerana dia sedar bahawa isteri solehah lagi beragama yang dipilihnya itu berupaya menjaga dan mendidik anaknya dengan amanah sepanjang ketiadaannya di rumah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
PARAS RUPA, HARTA BENDA & KEDUDUKAN TIDAK KEKAL
Kecantikan paras rupa, harta benda dan darjat keturunan tidak akan berkekalan. Namun, kebaikan dan akhlak yang mulia akan kekal selagi hayat dikandung badan. Sehinggalah ia membawa pelakunya ke syurga.
Antara kelebihan wanita solehah ialah akan sentiasa menghiburkan hati suami, redha dan menghargai pemberian suami serta sanggup bersama suami sama ada ketika susah mahupun senang. Ini kerana, agama menuntut dia melakukan demikian.
Sebuah riwayat menceritakan:
“Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia menjawab: Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. SESUNGGUHNYA SUAMIMU ADALAH SYURGA DAN NERAKAMU..” – Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik.
Wanita solehah memahami hak suami. Dia berusaha menunaikan semua hak itu semata-mata kerana mengharapkan redha ALLAH. Apa sahaja masalah rumah tangga yang dihadapinya akan ditangani secara baik dan terbuka. Dia juga bersedia menerima segala sikap baik dan buruk suami. Serta memohon petunjuk ALLAH agar dipermudahkan segala masalah yang dihadapinya ketika melayari hidup berumah tangga. Dia tidak akan sekali-kali membuka rahsia suami kepada orang lain terutamanya yang melibatkan rahsia di tempat tidur mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan isteri yang mendatanginya, lalu salah seorang mereka mendedahkan rahsia pasangannya.” – Riwayat Muslim.
Mereka sentiasa gembira dan ikhlas menjalankan tugas sebagai isteri semata-mata kerana ALLAH dan yakin terhadap sabda Rasulullah s.a.w bahawa seorang wanita yang melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, menjaga kemaluan dan mentaati suami, dia boleh masuk syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya. (Hadis sahih riwayat Ahmad dan al-Tobrani).
Oleh itu, segala perintah agama dilaksanakan sepenuh hati semata-mata kerana ALLAH. Muslimah yang baik sentiasa memahami bahawa ketaatan yang diberikan kepada suami adalah sebagai melaksanakan perintah ALLAH. Asalkan ketaatan itu bukanlah yang bertentangan dengan syariat dan hukum ALLAH. Setelah itu dia akan diberikan pahala yang tidak terhingga banyaknya.. Keengganannya berbuat demikian mengundang laknat dan kemurkaan ALLAH.
TIDAK MENOLAK PERMINTAAN SUAMI
Wanita solehah tidak akan sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut:
“Demi yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha kepadanya.” – Riwayat Muslim.
Dia juga memahami bahawa permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada di atas kenderaan.
Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat yang melanda fikirannya. Dan menenangkan jiwa suaminya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:
“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” - Riwayat Muslim.
Hal ini amat berbeza sekali dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.
Wanita solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya terletak pada redha suami terhadap dirinya.
MENJAGA BATAS PERGAULAN
Isteri solehah sentiasa memelihara auratnya ketika berurusan dengan lelaki yang bukan mahram. Cara percakapan dan akhlak sentiasa diawasi agar tidak melanggar batasan syarak. Dia tidak bercakap melainkan perkara yang baik. Jauh sekali mengumpat dan mengeji orang lain. Larangan mengumpat, menghina dan mengejek orang lain yang dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan sunnah sentiasa terpahat dalam hatinya.
Isteri solehah membimbing dan menasihati suami dalam melakukan apa yang terbaik untuk agama dan rumah tangga. Juga memberikan pandangan yang bernas terhadap dakwah dan kerjaya suami. Wanita pertama yang menjadi contoh terbaik dalam hal ini ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan orang pertama yang beriman, membenarkan, menyokong, berkoran jiwa dan raga serta sentiasa bersama baginda di saat-saat sukar baginda dalam menyampaikan dakwah.
Segala kebaikan, sokongan dan pengorbanan beliau ini mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada ALLAH S.W.T. Sehinggakan ALLAH dan Jibril berkirim salam kepada beliau dan menjanjikan sebuah mahligai untuknya di syurga kelak. Hal itu adalah penghargaan ALLAH terhadap segala kebaikan, layanan dan pengorbanannya buat suami tercinta.
Abu Hurairah menceritakan ketika saat wahyu mula-mula turun di mana baginda selalu bertahannuts di Gua Hirak:
“Jibril mendatangi Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah mendatangimu. Bersamanya ada bekas yang berisi lauk, makanan atau minuman. Apabila dia mendatangi kamu, maka sampaikanlah kepadanya salam TUHANnya dan daripadaku dan berilah khabar gembira kepadanya tentang sebuah mahligai di dalam syurga yang dibina daripada emas. Tidak ada kesusahan dan keletihan di dalamnya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
SENTIASA KEMAS & BERSIH
Dia cintakan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran hidup. Dia akan sentiasa menguruskan rumah tangga mengikut apa yang dipelajari dan dididik kepadanya sejak kecil. Menjaga akidah, amal ibadah, solat, puasa dan memastikan seluruh anggota keluarganya mentaati perintah agama. Dia juga sentiasa berhias untuk suaminya dan memastikan dirinya sentiasa kemas, bersih dan harum ketika berada di hadapan suami.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Antara punca kebahagiaan anak Adam ialah memiliki isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. Antara punca kecelakaan anak Adam ialah isteri yang jahat, rumah yang tidak selesa dan kenderaan yang tidak elok.” – Riwayat Ahmad melalui para perawi yang sahih.
Wanita solehah hanya berhias dan mempamirkan kecantikannya hanya untuk suaminya. Dia tidak mempamerkan di hadapan suami melainkan apa yang cantik dan wangi. Dalam sebuah riwayat diceritakan:
“Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu.” – Riwayat Ahmad dan selainnya dan dihasankan oleh al-Albani.
Malang sekali ramai di kalangan wanita memandang remeh perkara ini. Mereka salah faham lalu mempamerkan diri di hadapan suami dalam keadaan kusut masai, berbau, pakaian compang-camping dan sebagainya. Lebih buruk lagi ada yang hanya berkemban sepanjang berada di rumah.
Sebaliknya apabila hendak keluar rumah, mereka berhias secantik mungkin untuk dipamirkan kepada lelaki yang tidak berhak melihatnya. Ini bukan sahaja tidak wajar, malah mengundang dosa besar dan musibah terhadap keharmonian rumah tangga muslim.
SEHARUSNYA..
Maka sekiranya kita dah tahu dan yakin akan kewajiban terhadap suami, maka hendaklah kita berusaha mendapatkan keredhaannya dengan pelbagai cara.Dan berusahalah untuk menjadi sebagaimana seorang wanita yang solehah iaitu Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah S.A.W.. Yang memanjakan suaminya, yang meringankan bebannya ketika menghadapi kerasnya kehidupan, yang memperhatikan kesukaan-kesukaannya kemudian mewujudkannya, dan memudahkan kesulitan-kesulitannya walaupun dengan mengorbankan dirinya sendiri.
“Jadilah orang yang sedemikian mengagungkannya, maka dia akan menjadi orang yang sedemikian memuliakanmu.
Dan juga jadilah orang yang sedemikian menurutinya, maka dia akan menjadi orang yang sedemikian lama dapat engkau dampingi.
Dan ketahuilah bahwasanya engkau tidak akan dapat meraih apa yang engkau sukai sebelum engkau mendahulukan keredhaannya di atas keredhaan dirimu sendiri dan mendahulukan keinginannya di atas keinginanmu sendiri dalam segala hal yang engkau sukai ataupun engkau benci. Dan semoga Allah menjadikan semuanya baik untukmu”
Semoga perkongsian ni dapat memberi manfaat dan ingatan pada semua dan bersamalah kita berusaha memperbaiki diri..
- Ummu Salamah Nur Farhamizah -
http://gadiskalispeluru.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment