Sunday, April 25, 2010

Ulul Albab: Fungsi gunung-ganang menurut al-Quran




Ulul Albab: Fungsi gunung-ganang menurut al-Quran
Bersama Abdurrahman Haqqi

Letusan Eyjafjallajokull di Iceland mengingatkan manusia kekuasaan Yang Maha Esa

NAMANYA agak janggal dalam perbendaharaan bahasa kita, Eyjafjallajokull. Janggal daripada susunan huruf, sebutan ucapan dan penglihatan mata, tetapi susunan kata itulah yang menggusarkan negara Eropah dan berimbas ke seluruh dunia selama hampir dua minggu yang bermula pada 14 April lalu. 
 Eyjafjallajokull nama gunung berapi di Iceland, utara Britain, yang menghamburkan debu setinggi 11 kilometer ke udara dan menghalang banyak penerbangan ke Eropah. Selama enam hari larangan itu, penerbangan dunia mengalami kerugian AS$1.7 bilion. Belum lagi kerugian lain dikaitkan dengan perkhidmatan penerbangan. Eyjafjallajokull satu nama daripada ribuan nama yang diberikan kepada ciptaan Allah SWT yang bernama gunung. Gunung adalah penyeimbang bumi di mana tanpanya bumi akan beroleng (bergerak) tidak tentu arah. Inilah satu fungsi gunung yang didedahkan al-Quran lebih 1,400 tahun lalu.

Al-Quran menyebutnya bermaksud: “Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya.” (Surah al-Naba: 7) Dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)

Al-Quran menyebut gunung dengan dua perkataan bahasa Arab. Yang pertama kata jamak ‘jibal’ dan disebut sebanyak 33 kali, manakala kata tunggal ‘jabal’ disebut enam kali dan yang kedua kata ‘rawasi’ yang diulang sebanyak 10 kali.

Menurut Rosihan dan Fadlullah, istilah jabal lebih bersifat umum, sedangkan rawasi kemungkinan dimaksudkan khusus untuk menyebutkan gunung yang berfungsi sebagai pasak bumi. Hal ini dikuatkan pula oleh makna dasar dari-pada kata berkenaan. Kata rawasi bermakna sesuatu yang dapat membuat benda yang bergoncang menjadi diam, dalam hal ini benda yang bergoncang adalah bumi.
Penyebutan rawasi juga selalu didahului dengan kata alqa bererti ‘mencampakkan’, atau ‘meletakkan sesuatu yang belum ada sebelumnya di tempat itu.’ Makna ini bersesuaian dengan huraian ilmiah mengenai gunung. Gunung-ganang yang berada di batas lempeng (divergence mahupun convergence) sememangnya tidak muncul bersamaan dengan pembentukan daratan, melainkan harus melalui proses tektonik terlebih dulu.

Penggunaan isim makrifat (al) yang mendahului kata ard dalam Surah Al-Nahl ayat 15. Isim (kata benda) ini menunjukkan pengkhususan, dalam hal ini pengkhususan bahagian tertentu daripada bumi. Ini bererti ‘gunung’ dimaksudkan dalam ayat berkenaan tidak terdapat di seluruh permukaan bumi, akan tetapi hanya pada wilayah tertentu. Wilayah berkenaan kemungkinan adalah batas-batas lempeng.

Bahagian lain setelah kata rawasi dalam ayat ini adalah perkataan an tamiida bikum yang bermakna ‘supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu.’ Perkataan ini mungkin menunjukkan ‘gunung’ yang dibicarakan dalam ayat itu ialah gunung berada dekat dengan permukiman manusia, yakni gunung-gunung di batas lempeng konvergen. Gunung di bawah laut (batas lempeng divergen) mungkin tidak termasuk dalam ‘gunung’ yang dibicarakan ayat ini.

Dalam al-Quran disebut gunung 49 kali mempunyai tujuan tertentu. Dengan bilangan sebanyak itu, sudah tentu gunung mempunyai kedudukan tersendiri dalam senarai makhluk ciptaan Allah. Kita boleh mengkategorikan pembahasan gunung dalam 49 ayat itu kepada pembahasan mengenai hakikat gunung sebagai kata kiasan; kepentingan sejarah manusia; tempat berlaku mukjizat; tempat berlindung manusia dan haiwan; penyeimbang bumi; keagungan penciptaan gunung, gambaran komposisi geologi; fakta bahawa gunung bergerak; supernatural dan nasib gunung pada hari kiamat.

Dari segi sains, gunung berapi adalah suatu proses geologi yang membabitkan pembentukan daratan yang dijana daripada letusan menerusi permukaan planet dipanggil magma, batuan cair yang meleleh keluar dari bahagian dalam (interior) planet.

Gunung berapi ada dalam beberapa bentuk sepanjang kitaran hayatnya. Gunung berapi yang aktif mungkin bertukar menjadi separuh aktif, menjadi pendam, sebelum akhirnya menjadi tidak aktif atau mati. Bagaimanapun, gunung berapi mampu menjadi pendam selama tempoh 610 tahun sebelum bertukar menjadi aktif semula. Oleh itu, sukar untuk menentukan keadaan sebenar sesuatu gunung berapi itu, sama ada sesebuah gunung berapi itu berada dalam tempoh pendam atau telah mati.

Apabila gunung berapi meletus, magma yang terkandung di dalam kamar magma di bawah gunung berapi meletus keluar sebagai lahar atau lava. Selain daripada aliran lava, kemusnahan oleh gunung berapi disebabkan melalui pelbagai cara seperti aliran lava; letusan gunung berapi; aliran lumpur; abu; kebakaran hutan; gas beracun; gelombang tsunami; dan gempa bumi.

Kejadian fenomena alam abu gunung Eyjafjallajokull sedikit sebanyak mengingatkan manusia mengenai kekuasaan Sang Maha Pencipta yang tidak ada tolak bandingnya. Dia boleh melakukan apa saja tanpa ada campur tangan dari sesiapa pun. Manusia sebagai makhluk ciptaannya hanya boleh menerimanya secara sukarela mahupun secara terpaksa demi kebaikan mereka.

“Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?” (Surah al-Nahl: 17) 


http://gadiskalispeluru.blogspot.com/

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino