Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad ALOR
SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan disaran supaya mengharamkan
penjualan rokok elektronik (vape) dan shisha stick agar sejajar dengan
keputusan bahawa hukum menghisap vape dan shisha stick adalah haram.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkara selaras dengan
keputusan pengharaman itu, kerajaan juga perlu mengambil kira perkara
yang menyumbang kepada aktiviti berkenaan.
"Dalam Islam diharamkan arak bukan untuk minum saja, penjualan,
pelesenan, penyediaan, semua diharamkan apabila kita menyumbang,"
katanya kepada Bernama di sini Jumaat.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 Nov lalu memutuskan
hukum menghisap vape dan shisha stick adalah haram kerana akan
menyebabkan berlaku kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.
Syeikh Muhamad menjelaskan keputusan itu diambil setelah dibincangkan
dengan teliti dan diberi penerangan khusus daripada pihak farmasi, serta
berpandu ayat al-Quran.
"Ia hanya mendatangkan kemudaratan khusus kepada generasi yang akan
kendalikan urusan pentadbiran negara pada masa akan datang, bukan sahaja
orang Islam tapi semuanya," katanya.
Vape dikatakan berbahaya kerana mengandungi sejenis nikotin yang
bervariasi iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol dan
gliserin, yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine sejenis
larutan yang boleh menyebabkan kanser.
Sementara itu Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri
Mohammad Nazer Mustafa yang turut menyokong sepenuhnya keputusan
pengharaman berkenaan berkata penggunaan vape atau sisha stick dilihat
sebagai taktik baharu mengambil dadah.
Berbanding penggunaan suntikan jarum sebelum ini, pengguna boleh
memasukkan bahan-bahan terlarang ke dalam perisa-perisa Vape sedia ada
seperti ganja, syabu serta nikotin, katanya.
Jelasnya perkara tersebut sukar dikawal dan bakal menjadi fenomena
membimbangkan apabila pelajar sekolah dilihat antara mereka yang banyak
menggunakan vape atau shisha stick.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah Datuk Yusof Ismail turut meminta
kerajaan bertindak tegas mengharamkan penjualan dan pengedaran vape di
seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan kepada peniaga dan pengguna.
"Kalau misalnya Kedah haramkan, tapi bila orang Kedah ini nak pergi ke
negeri yang tidak mengharamkannya, maka adakah dia boleh
menggunakannya," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment