Firman Allah bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepada-Nya semata-mata. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa, jika salah seorang dari keduanya
atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan `ah`, dan janganlah engkau menengking menyergah
mereka, tapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(Al-Isra`, 17:23).
********
Demikianlah dalam kehidupan, kita sering berdoa kepada Allah
agar diberi kesihatan, umur panjang, murah rezeki dan selamat dunia akhirat.
Tapi umar panjang ada dilemmanya dan mungkin nyanyuk. Jika demikian mungkin
menyusahkan keluarga untuk menjaga, apa lagi jika sering sakit. Tapi bagi anak
yang salih, inilah masa ujian bagi anak untuk berbakti kepada ibu bapa atau
salah seorang daripada mereka, ketika tua.
Demikian seorang jiran kami terkenal mengambil berat menjaga
orang tuanya yang kerana prihatinnya ibu mertuanya lebih suka untuk tinggal
bersama anak-menantunya ini daripada anak-anak yang lain. Kemahuannya dilayan,
jika mau pulang ke kampong, maka diikut sama pulang dan kemudian sama datang.
Masalah yang dihadapi ibu mertua yang menjangkau umur 80an ini sudah mulai
nyanyuk. Yang melucukan sering kali biarpun
baru makan, dikatakan belum makan. Aduan dibuat kepada anak lelakinya bila
pulang dari kerja, mengatakan ia belum makan biarpun baru makan. Namun anaknya
memahami kedaan ibunya yang telah nyanyuk. Beliau tidak memarahinya, sebaliknya
tersenyum dan ikut kemahuannya jika dia mampu makan lagi, sambil menemaninya.
Kesukaan ibu ini ialah mengajak menantunya makan pagi di
warung di kawasan pasar tidak jauh dari rumah. Untuk menggembirakan hati ibu
mertua, menantunya sekali-sekala menurut kemahuan ibu mertuanya pergi makan
bersama dan jika hari tak sekolah sama diiring cucu-cucu, suatu yang
menggembirakannya, walaupun makan di warung tidak begitu disukai menantu.
Pada satu pagi, isteriku yang ke pasar membeli keperluan
dapur ketawa bila bersua dengan jiran sekeluarga makan di warung pasar sedang
jiran itu mengambil gambar ibunya sedang makan. Isteriku menegur,
``Ai, bergambar masa makan !`` macam pelancung ?
Dengan ketawa dia mendekati isteriku dan berbisik kepadanya,
``Untuk tunjuk padanya bukti sudah makan !`` Bila ibu mertuanya mendakwa belum
makan !
Isteriku yang memang sudah tahu keadaan, ``Turut ketawa``
sambil bersalam dengan mertua jiran dan bertanya khabar tentang kesihatannya.
Dia lalu mengajak isteriku makan bersama dan berkata, ``Mari makan bersama,
lapar, saya masih belum makan !`` walaupun sebenarnya dia sudah makan.
Nyanyuknya menyebabkan isteri dan menantunya ketawa simpati,
sambil isteriku berkata, ``Perkara biasa yang dialami yang berumur – termasuk
atuk perempuan saya semasa arwah hidup. Begitulah nyanyuknya, sudah makan
dikatakan belum makan !``
Keadaan yang dialami ibu mertua jiran itu, tidaklah
menyusahkan jiran tersebut, sebaliknya menceriakan mereka sekeluarga.
Menyebut tentang golongan usia emas seperti ini, Penulis
pernah menyebut, pada masa Penulis menjadi Wakil Rakyat pernah melawat ibu
tertua di Kampung Bahagia Bangi yang
mencecah umur 100 tahun, tapi yang mengkagumkan Penulis, warga emas ini
masih mengenali suara orang yang pernah datang menziarahinya dan menyebut namanya
yang membuktikan dia tidak lupa dan tidak nyanyuk.
Bila ditanya kepada anak setia yang menjaganya dan
diberitahu juga oleh jiran-jirannya bahawa ibu warga emas ini tidak lekang dari
membaca dan menghafal al-Qur`an. Al-hamdulillah dia dikurniai Allah tidak nyanyuk
hingga ke akhir hayat. Jadi membaca dan menghafal Al-Qur`an adalah boleh menerangkan
hati dan tarapi diri dari lupa dan nyanyuk !
Firman Allah bermaksud:
Mereka melupakan Allah dan Allah juga melupakannya
(al-Taubah, 9: 67).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Allahlah sebaik-baik Penjaga (Pemelihara) dan Dia Terlebih
Bersifat Rahmat dari yang segala yang bersifat rahmat (Yusuf, 12: 64).
Namun, penjagaan yang paling istimewa dan paling terpelihara ialah ia dihafal oleh Rasulullah s.a.w dan hafalan itu telah disemak ketepatannya oleh malaikat Jibril, kemudian dihafal pula oleh para sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w pula yang menyemak ketepatan hafalan mereka. Kemudian dihafalkan pula generasi berikutnya dan disemak oleh generasi sebelumnya.
Sejarah telah membuktikan bagaimana mereka yang tidak faham bahasa Arab juga dapat menghafal Al-Qur’an dengan baik. Yang sudah dewasa juga mampu untuk menghafal Al-Qur’an.Bak kata pepatah: jika hendak, seribu daya. Tidak ada dalam Islam istilah terlalu tua untuk menuntut ilmu, apatah lagi menuntut ilmu Al-Qur’an dengan menghafalnya. Mereka yang menghafal dan mempelajari Al-Qur’an adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah s.w.t.
Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya: Ertinya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya." Sebaliknya orang yang tidak membaca Al-Qur'an apatah lagi menghafalnya adalah seperti rumah yang hancur roboh. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Ertinya: "Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sedikit pun dari Al-Qur'an adalah seperti rumah yang hancur roboh."
Antara fadhilat-fadhilat membaca Al-Qur’an ialah:
1) seseorang akan lebih terang hatinya dan lebih tenteram kehidupannya.
2)Al-Qur’an adalah pengubat bagi orang-orang yang beriman.
3) Ia juga akan menerangi kubur kita kelak.
4)Ia juga akan memberi syafaat kepada kita di hari Kiamat.
4)Orang yang membaca Al-Qur’an juga akan dijaga oleh Allah dari penyakit- penyakit yang hina apabila tua kelak.
Dalam satu riwayat, Saidina Ali r.a pernah berkata bahawa orang yang sentiasa membaca Al-Qur’an tidak akan ditimpa dengan penyakit nyanyuk atau dipandang hina apabila tua kelak. Begitu besar fadhilat menghafal Al-Qur’an sehingga ramai umat Islam berkejaran untuk memastikan anak-anak mereka bukan sahaja tahu membaca Al-Qur’an malah menghafalnya juga, kerana anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya apabila mereka mati kelak, kerana anak yang menghafal Al-Qur’an akan dapat menyelamatkan ibu-bapanya dari siksaan api neraka. "Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada lurus perjalannya. Dan ia memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa untuk mereka ganjaran yang besar." (Al-Isra’, 9)
0 comments:
Post a Comment