Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya
Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami
pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan
air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan
membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke
dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan
dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan,
didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah
dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ) :
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat
tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah
diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan)
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat
dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang
berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya.
Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah
S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu
langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail
masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan
melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan
buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam.
Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah
mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga
tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan
masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang
sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan
berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan
terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman
syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain,
Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu
mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah
lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA
ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL-
'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan
ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan
Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur
ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi"
yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak
berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah,
daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi
permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua
keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.
Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan
Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan
pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan
naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki
yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya
sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak
memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah
SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog
antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil
dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan
besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin,
manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil.
Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan
menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada
syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu
sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka
dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku
beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah
al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan
habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan
nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan
umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S.
kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W
merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah
waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan
sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke
Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa
peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan
Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum
hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Itadakimasu...
2 years ago
0 comments:
Post a Comment