Nama sebenar beliau ialah Abu Jaafar
Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, lahir pada tahun 63H (682M)
dan meninggal dunia pada 101H (720M). Beliau adalah pemimpin @ khalifah
kepada Bani Umaiyyah yang ke 6, dan telah memerintah selama 2 tahun 5
bulan.
Ayahnya adalah Abdul-Aziz bin Marwan, gabenor Mesir dan adik kepada
Khalifah Abdul Malik. Ibunya adalah Ummu Asim binti Asim. Umar adalah
cicit kepada Khulafa Ar-Rasyidin kedua Umar bin Khattab.
Umar bin Abdul Aziz dibesarkan di Madinah dengan bimbingan Ibnu Umar,
iaitu salah seorang sahabat nabi yang paling banyak meriwayat hadis.
Umar telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi serta bergaul
dengan para pemuka ahli feqah dan ulama. Merantau ke Madinah untuk
menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh
terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair,
Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau
melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul
Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan
puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik (sepupunya).
Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang
diwarisi dari datuknya Saidina Umar bin Al-Khattab. Baginda amat
berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat.
Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua
lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk
kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu
diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah
dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat
biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan
kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep
jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini
terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang
boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan
harta kerajaan.
Umar bin Abdul Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dibai'ah / dilantik menjadi Khalifah pada tahun 98H (717M)
setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik atas
wasiat khalifah tersebut. Padahal sebenarnya dia tidak mahukan jawatan
itu.
Oleh kerana itu dia mengumpulkan orang-orang di masjid untuk solat
berjamaah lalu berpidato. Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dan
bersalawat kepada Nabi, dalam pidatonya dia mengatakan,
“Wahai manusia! Saya telah diuji untuk menjalankan tugas ini tanpa
diminta pendapat, permintaan dari saya, atau musyawarah kaum Muslimin.
Maka sekarang ini saya membatalkan bai'ah yang kalian berikan kepada
diri saya dan untuk selanjutnya pilihlah khalifah yang kalian suka!”
Tetapi orang-orang yang hadir dengan serempak mengatakan, “Kami telah
memilih engkau wahai Amirul Mukminin. Perintah lah kami dengan
kebahagiaan dan keberkatan!”
Setelah itu dia
lalu menyuruh semua orang untuk bertakwa, untuk tidak menyukai dunia
dan menyukai akhirat, kemudian berkata, “Wahai manusia! Barang siapa
mentaati Allah, wajib ditaati, siapa yang mendurhakai-Nya tidak boleh
ditaati oleh seorang pun. Wahai manusia! Taatilah saya selama saya
mentaati Allah dalam memerintahmu dan jika saya mendurhakai-Nya tidak
ada seorang pun yang boleh mentaati saya.” Lalu dia turun dari mimbar.
Kenyataan Khalifah Abdul Aziz yang terakhir di atas iaitu agar taat
kepadanya selagi dia taat pada Allah, dan jangan taat padanya jika dia
tidak taat kepada Allah, adalah sama sepertimana yang diucapkan oleh
Saidina Abu Bakar ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Kata-kata
Saidina Abu Bakar seperti berikut;
".....Patuhilah
aku selama aku mematuhi Allah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak
mematuhi keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian
terhadapku......" (Al Bidayah Wan Nihayah - Imam Ibnu Katsir, mengatakan
sanadnya adalah sahih).
Maka kita tanya diri kita sekarang, adakah kerajaan dalam negara kita
sekarang ini mematuhi Allah? Sedangkan Hukum Hudud yang wajib dan
diperintahkan di dalam AlQuran pun satu habuk kita tidak laksanakan.
Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum.
Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas
Muhammad s.a.w dan tiada kitab selepas alQuran, aku bukan penentu hukum
malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang
yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu
sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan
kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang
yang paling banyak dosa di sisi Allah”
Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.
Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang
Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau menjawab “Wahai isteriku, aku telah
diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada
orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya
sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’
(orang-orang fakir) kaum muslimin. Aku
tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang
aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku
tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah s.a.w."
Isterinya juga turut mengalirkan air mata.
Setelah mengambil-alih tampuk pemerintahan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz
telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal.
Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) Menghapuskan
cacian terhadap Saidina Ali bin Abu Thalib dan keluarganya yang disebut
dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan
ayat suci al-Quran
2) Merampas kembali harta-harta yang disalah-gunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) Memecat
pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalah-gunakan kuasa dan pegawai
yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) Menghapuskan
pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah
terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata
tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal
peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat
sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambil-berat tentang kebajikan
rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga
ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitik-beratkan penghayatan agama di kalangan
rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah
memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjamaah dan
masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana
yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan para Khulafa' Ar-Rasyidin.
Baginda turut mengarahkan Muhammad bin Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar
mengumpul dan menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam
supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari
bahasa Greek, Latin dan Suryani ke dalam bahasa Arab supaya senang
dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyyah, beliau telah menghantar 10
orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang
pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk
mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah
menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan
Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah
menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua
rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya
keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan
adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab,
yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh
pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.
Hari-hari terakhir Umar bin Abdul Aziz
Ketika menjelang sakaratul mautnya, umat Islam datang berziarah melihat
kedhaifan hidup khalifah sehingga ditegur oleh menteri kepada isterinya,
"Gantilah baju khalifah itu", dibalas isterinya, "Itu saja pakaian yang
khalifah miliki".
Apabila beliau ditanya “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mau mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?”
Umar Abdul Aziz menjawab: "Apa yang ingin kuwasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa."
"Mengapa engkau tinggalkan anak-anakmu dalam keadaan tidak memiliki?"
"Jika anak-anakku orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang
soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak mahu
meninggalkan hartaku di tangan orang yang mendurhakai Allah lalu
menggunakan hartaku untuk mendurhakai Allah."
Pada waktu lain, Umar bin Abdul Aziz memanggil semua anaknya dan
berkata: "Wahai anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua
pilihan, pertama: menjadikan kamu semua kaya dan ayah masuk ke dalam neraka, kedua:
kamu miskin seperti sekarang dan ayah masuk ke dalam syurga (kerana
tidak menggunakan wang rakyat). Sesungguhnya wahai anak-anakku, aku
telah memilih syurga." (beliau tidak berkata : aku telah memilih kamu
susah)
Anak-anaknya ditinggalkan tidak berharta dibandingkan anak-anak gabenor
lain yang kaya. Setelah kejatuhan Bani Umayyah dan masa-masa selepasnya,
keturunan Umar bin Abdul Aziz adalah golongan yang kaya berkat doa dan
tawakkal Umar bin Abdul Aziz.
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah
selama 2 tahun 5 bulan. Menurut riwayat, beliau meninggal kerana dibunuh
(diracun) oleh pembantunya.
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah
pemerintahan, tetapi Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan
sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada
pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat
layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh
dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat.
Kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari
sendiri.
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur,
adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman
moden ini. Hanya dalam masa 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan
ke arah pemerintahan yang diredhai Allah dan menjadi contoh sepanjang
zaman. satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang
yang benar-benar ikhlas!
Kesimpulan
Marilah sama-sama kita berusaha untuk melantik Perdana Menteri yang
berjiwa seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, yang mana tidak KEDUNIAAN ,
ZUHUD serta TAWADHU'. Dan membahagikan kekayaan negara sama rata di
kalangan rakyat. Adakah anda rasa itu mustahil? Tidak sama sekali
sebenarnya. Janji ada kehendak, doa dan usaha, kemudian tawakkal pada
Allah s.w.t.
Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz boleh lakukan di zamannya,
mengembalikan kegemilangan zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, apa
lagi kita di zaman sekarang yang penuh kemudahan dan teknologi. Yang
menjadi masalah ialah semangat dan keyakinan kita saja yang kurang.
Adakah kita hanya mahu menjadi PEMBACA kepada kisah Khalifah Umar bin
Abdul Aziz tanpa mahu mengambil iktibar dan cuba lakukan sedemikian
juga?
Ingatlah, jika kekayaan dibahagi sama rata, maka tidak akan wujud hasad
dengki, rompakan, curi, ragut, pecah rumah, bunuh-membunuh kerana harta
dan seumpamanya. Tidakkah anda nampak itu aman seamannya? Dan kepada
golongan kaya raya yang makin mahu menambah kekayaan, untuk apa kamu
mahu bertambah kaya lagi? Untuk menunjuk-nunjuk hebat di dunia yang
sementara ini? Adakah kamu boleh hidup selamanya di atas dunia ini?
Berapa tahun sangat umur kamu dapat bertahan? Sedarlah dan jelirlah
kepada bisikan-bisikan syaitan yang menghasut nafsu kita agar tidak
pernah puas dengan kekayaan yang sedia ada.
Buat apa kaya-raya sedangkan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan?
Bimbang harta dirompak, diragut, dirampas, anak kena culik, isteri kena
culik, dikhianat dan sebagainya.
Jika kita teruskan dengan konsep dan kaedah yang ada sekarang ini, maka
orang kaya akan terus bertambah kaya, dan yang miskin akan tersepit dan
makin terkepit. Dan apabila disebut agar berusaha agar rakyat sama kaya
semuanya, akan ada lah mulut-mulut 'mengada' yang mengatakan "tu nak
suruh rakyat agar malas berusaha lah tu". Atau pun "ini nak suruh
kerajaan beri subsidi selalu lah ni". Orang yang cakap begitu biasanya
hanya fikir tentang 'perut' sendiri tetapi tidak menghayati dan memahami
kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara kita yang miskin dan susah
di luar sana.
“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadith Riwayat Bukhari)
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati
sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh
mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Sedarlah, tidak semestinya semua usaha lebih dan rajin itu akan menjadi
kan seseorang itu KAYA. Kadang-kadang, orang yang berusaha lebih, dia
tetap miskin. Kadang-kadang orang berusaha sikit saja, tapi dia dah jadi
kaya raya. Adakalanya orang-orang bawahan dia yang penat lelah
mengkayakan dia.
Sedarlah, kekayaan dan kemiskinan itu adalah REZEKI dan UJIAN dari Allah
s.w.t. Dia mahu uji dan tengok kita setakat mana kesabaran dan
ketahanan kita digoda oleh harta benda. Hinggakan ada kalanya manusia
merasakan harta benda itu dia sendiri yang punya, hingga langsung tidak
sedar banyaknya AMANAH yang ada dalam hartanya yang nanti akan
dipersoalkan di Hari Kiamat kelak.
“Ketahuilah
oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan
sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kalian
serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan
yang kerananya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani,
kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning
lantas menjadi hancur, dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan
ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya, dan kehidupan dunia itu tidak
lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid : Ayat 20)
Sama-sama lah kita fikirkan dan guna akal yang Allah Ta'ala bagi ini
dengan sebaik mungkin. Dan sedarlah, kita ini sudah sekian lama ditipu
oleh PENJAJAH dan sampai sekarang pun masih pakai Undang-undang penjajah
dan ikut telunjuk penjajah.
Rujukan:
1 - tayibah.com
2 - Abdurrahman, Jamal (dalam bahasa Indonesia). Keagungan Generasi Salaf (disertai kisah-kisahnya). Darus Sunnah.
3 - Jalaluddin Suyuthi - Tarikh al-Khulafa (Sejarah Para Khalifah).
credit unikversiti.blogspot.com
Share