KUALA LUMPUR: Keputusan ujian makmal terhadap 31 sampel produk ayam
syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) mendapati tiada
kandungan antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan,
kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau telah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan kementerian
untuk mengambil 15 sampel dari kilang syarikat itu dan 16 sampel dari
pasaran untuk diuji.
"Siasatan makmal yang dibuat menunjukkan bahawa tiada kandungan
Chloramphenicol, kalau ada, tindakan segera akan kita ambil untuk
keluarkan produk itu dari pasaran," katanya ketika menggulung perbahasan
Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada persidangan Dewan Rakyat hari
ini.
Liow berkata kementerian memantau produk dari Ayamas sejak 2009
hingga sekarang dan mendapati tiada kandungan antibiotik itu pada
produknya.
Media melaporkan pada Khamis lepas bahawa kerajaan Sarawak
mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa
serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.
Sementara itu, beliau berkata kementerian tidak menggalakkan
pengambilan stevia dalam kegunaan harian kerana tahap kemanisannya 200
ke 300 lebih tinggi daripada gula.
Liow berkata kementerian juga tidak melarang orang ramai
mengambil stevia, bagaimanapun mereka yang ingin berbuat demikian,
perlulah dipantau oleh doktor ataupun pakar pemakanan.
Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan kemanisan yang terlalu
tinggi akan menyebabkan mereka terbiasa dengan tahap manis, katanya.
Beliau berkata penggunaan stevia di dalam pemprosesan makanan dibolehkan kerana kadar kemanisannya dikawal rapi.
"Kita perlu lihat cara penggunaannya, kalau gula biasa kita sudah
biasa, penggunaan stevia hanya dalam pemprosesan makanan dan tidak
boleh dalam penggunaan harian, tetapi kalau rakyat nak ambil, perlu
pendidikan secukupnya terhadap stevia," katanya.
Persidangan Dewan disambung pada 19 November kerana Dewan tidak
akan bersidang selama seminggu sempena perayaan Deepavali pada 13 Nov
dan sambutan Awal Muharam pada 15 November. - BERNAMA
Itadakimasu...
2 years ago
0 comments:
Post a Comment