REJAB yang kita lalui kini, turut mencatat sejarah duka bagi Nabi Muhammad SAW. Apabila meneliti catatan sejarah, didapati bahawa pada Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Baginda, Nabi Muhammad benar-benar berada di puncak kesedihan.
Baginda menghadapi dua musibah berturut-turut iaitu kehilangan dua insan yang sangat berjasa dan dikasihi yang pergi buat selama-lamanya menghadap Ilahi.
Peristiwa itu adalah kewafatan Siti Khadijah, isterinya. Tidak lama kemudian menyusul pula bapa saudaranya, Abu Talib.
Tahun itu adalah tahun duka cita bagi Rasulullah. Baginda bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang menumpahkan taat setia, kasih sayang dan ketabahan luar biasa, malah Siti Khadijah menjadi sumber inspirasi dalam perjuangan Baginda.
Sebagai insan berharta, Siti Khadijah menyumbangkan sebahagian harta miliknya dengan penuh ikhlas dan rela, demi kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.
Sokongan Siti Khadijah juga menyebabkan beban berat yang dipikul Nabi Muhammad berasa lebih ringan. Ia turut mengubat kedukaan Baginda hingga Rasulullah mendapat kekuatan dan semangat untuk mengembangkan Islam.
Siti Khadijah banyak berkorban dan memberi sokongan, baik dengan harta mahupun jiwa raganya dalam usaha pengembangan agama Islam.
Demikian juga halnya dengan kewafatan Abu Talib, bapa saudaranya yang bermati-matian membela dan melindunginya daripada ancaman orang kafir Quraisy.
Lantaran Abu Talib tergolong dalam orang yang disegani di kalangan bangsa Arab, menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Nabi secara terang-terangan.
Setelah Abu Talib dan Siti Khadijah wafat, mereka tidak lagi segan-segan mengganggu, mengejek serta mengancam Rasulullah.
Selepas Nabi Muhammad berasa ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan umat Islam tidak lagi begitu terjamin, Rasulullah memutuskan untuk pergi ke Taif.
Rasulullah berharap penduduk Taif akan menerima seruan Baginda, sekali gus membantu perjuangannya. Bagaimanapun, di luar dugaan, penduduk Taif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Baginda menerima pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan.
Rasulullah kembali ke Makkah dengan perasaan hampa. Betapa beratnya penderitaan yang diterima oleh Baginda ketika itu.
Dalam keadaan seperti itu, untuk menghibur dan meningkatkan iman Rasulullah, maka Allah memerintahkan kepada Jibril agar Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj.
Peristiwa yang menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad.
Israk Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian.
Itadakimasu...
2 years ago
0 comments:
Post a Comment