Saturday, October 03, 2009

Hukum Mengabungkan Niat Puasa Qada Ramadhan Dan Puasa Sunat 6 Hari Syawwal

al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri 

Puasa 6 hari dibulan syawal merupakan satu ibadah yang sangat dituntut selepas menunaikan kewajipan puasa sebulan Ramadhan. Ia bertepatan dngan konsep ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNYa:

فإذا فرغت فانصب وإلى ربك فارغب



Maksudnya: “Maka apabila kamu selesai maka bangkitlah dan kepada TuhanMu hendaklah kamu cintai”. (Surah al-Syarh: 7 )

Menurut ulama tafsir, maksudnya ialah apabila kamu selesai menunaikan satu ibadah maka berusahalah lagi dengan melakukan ibadat yang lain seterusnya. (Qurtubi: al-Jami li Ahkam al-Qur’an, juz 20, hlm. 108)



Galakan berpuasa 6 hari Syawwal sabit dengan hadis yang sangat banyak. Antaranya  daripada Abi Ayyub al-Ansari radiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda:
 من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فذاك صيام الدهر
Maksudnya: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengekorinya dengan 6 hari di bulan Syawwal, maka ia adalah pusa selama setahun” (hadis riwayat Muslim no 1984)
Daripada Thauban radiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda
:من صام رمضان وستة أيام بعد الفطر كان تمام السَنَةِ من جاء بالحسنة فله عشر أمثالها 
Maksudnya: “sesiapa yang bepuasa Ramadhandan 6 hari di bulan Syawwal selepas hari raya al-Fitr, adalah ia setahun penuh. Sesiapa yang mendatangkan satu kebaikan, baginya 10 kali ganda seupamanya.”(Hadis riwayat Ibn Majah no 1705. Juga diriwayatkan oleh Nasaei, Darimi dan Bazzar)
Menurut Imam Nawawi: disunatkan melakukannya secara berturut pada awal syawwal. Sekiranya dilakukan secara berasingan hukumnya harus. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, juz 6, hlm. 427)
Pendapat beliau ini bertujuan untuk menghayati makna “mengekori” yang tersebut dalam hadis di atas.
Menurut Sanani pula: Ketahuilah bahawa ganjarannya terhasil bagi orang yang melakukannya secara berasingan atau berturutan selepas raya atau di pertengahan bulan. (Subul al-Salam, juz 1, hlm. 582)
Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum menggabungkan puasa qada’ dan 6 hari syawwal ini.
Menurut kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qada’ dan puasa sunat Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qada’ sahaja. Menurut Ibn Hazim kedua-duanya tidak sah. (al-Muhalla, juz 4, hlm. 302) Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).
Puasa Qada Ramadhan adalah dituntut kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Puasa 6 Syawwal pula dituntut sebagai ekoran daripada puasa wajib Ramadhan.
Mereka sepakat bahawa menggabungkan niat dibolehkan pada ibadah yang berbentuk alat atau pada ibadah yang saling kait-mengait.
Misalnya seorang yang berjunub pada hari Jumaat berniat mengangkat hadas dan mandi sunat Jumaat sekaligus. Janabah terangkat dan pahala mandi Jumaat akan terhasil. Ini kerana ibadah mandi hadas adalah alat untuk mendapat kesucian. Ibadah mandi sunat Jumaat juga bertujuan untuk membersihkan diri.
Begitu juga sekiranya satu amalan itu sememangnya menjadi matlamat manakala satu lagi pula bukan menjadi matlamat. Misalnya seseorang memasuki masjid lalu menunaikan solat sunat sebelum Zohor dan berniat tahiyyatul masjid sekaligus. Ini kerana solat sunat Tahiyyatul masjid tidak menjadi matlamat tetapi yang jadi matlamat ialah solat yang perlu didirikan apabila masuk masjid. Solat sunat sebelum Zohor pula sememangnya menjadi matlamat kerana ia adalah solat yang ada ganjarannya tersendiri.
Sekiranya kedua-duanya menjadi matlamat maka ia tidak boleh digabungkan. Contohnya mengabungkan antara Qada’ subuh dan sunat Dhuha. Qada subuh dituntut kerana meninggalkan solat. Sunat Dhuha pula dituntut kerana masuknya waktu Dhuha. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24). 
Sebahagian ulama mengharuskan gabungan antara niat qada’ dan niat puasa sunat.
Mereka berhujah dengan umum dalil umum tentang niat iaitu sabda Nabi saw:
 إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى
Maksudnya: “Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang mendapat hanya apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no 3530)
Bentuk pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya. Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya.
Menurut Zakariya al-Ansari: “sekiranya dia berpuasa di bulan Syawwal kerana qada puasa Ramadhan atau lainnya samada nazar atau sunat yang lain, terhasillah baginya pahala sunat Syawwal kerana paksinya ialah pada wujudnya puasa pada enam hari di bulan Syawwal meskipun tidak menyedarinya. Namun, ia tidak mendapat pahala penuh puasa syawwa melainkan dengan niat berpuasa 6 hari Syawwal lebih-lebih lagi orang yang terluput puasa ramadhan kerana tidak menepati atas dirina kaedah berpuasa ramadhan dan mengekorinya dengan 6 hari syawwal” (al-Syarqawi `ala al-Tahrir, juz 1, hlm. 427).

No comments:

Post a Comment

Komen apa yang patut