Saturday, August 08, 2009

**Berbuka Puasa Mengikut Sunnah

Sumber: Buletin Al-Khadeem

Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika

berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:

a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah

segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu

Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah!

sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau

mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in

an taghfirali)” - Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di

antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda

Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.”

– Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.

Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika

matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk

berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w

bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan

berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:

“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka

puasa.” - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar

pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran.

Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin

Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada

rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk

beberapa teguk air.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat

Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan

malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat

telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat

Maghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah

didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan

makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” - Hadis riwayat al-Bukhari,

no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka

surat 208: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya

makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan

kesempurnaan khusyuk.”

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah S.W.T:

“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat

ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau.

Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk

kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman.

Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang

bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan

pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a.w:

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya

(memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah

satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

- Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk

menjamu makan bagi mereka yang berpuasa. Firman Allah S.W.T:

“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya

kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati):

Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami

langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.”

-Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang

begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah

gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya

sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak

dikurangkan walau sedikit.” - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.

No comments:

Post a Comment

Komen apa yang patut