Wednesday, June 24, 2009

**Amalan Di Bulan Rejab

Rujukan:
FATWA-FATWA SEMASA
(AL-FATAWA AL-MU’ASARAH)
Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi

BULAN REJAB

Soalan:
Kita sering mendengar dari para khatib solat Jumaat – khususnya tiap permulaan bulan Rejab – berbagai hadis diriwayatkan mengenai keutamaan bulan tersebut dan mengenai pahala besar yang dijanjikan Allah bagi orang yang berpuasa dalam bulan tersebut walau hanya sehari. Di antara hadis-hadis itu ialah: “REJAB ADALAH BULAN ALLAH, SYA’BAN BULANKU DAN RAMADHAN BULAN UMMATKU.”

Bagaimanakah pendapat ustaz mengenai hadis-hadis seperti itu? Apakah isi hadis tersebut dipandang benar (sahih)?
Apakah hukumnya bagi orang yang menyampaikan kepada orang ramai hadis-hadis palsu dan dikatakannya berasal daripada Rasulullah SAW?

Jawab: (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi)
Tidak ada riwayat yang benar mengenai bulan Rejab selain yang menerangkan bahawa bulan tersebut termasuk empat bulan yang disebut Allah SWT dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, menurut ketetapan Allah pada waktu Allah menciptakan langit dan bumi, di antaranya adalah empat bulan yang suci..” (Surah Al-Taubah: 36)


Empat bulan itu ialah: Rejab, Zulqa’idah, Zulhijjah dan Muharram. Tidak ada hadis sahih menyebutkan kekhususun bulan Rejab sebagai bulan yang mempunyai keutamaan. Yang ada hanyalah hadis hasan (baik) yang menyebutkan: Bahwasanya Rasulullah SAW BANYAK berpuasa dalam bulan Sya’ban. Ketika dbeliau ditanya mengenai hal itu, baginda menjawab:

“Bulan itu (Sya’ban) ialah bulan yang (sering) dilupakan orang (iaitu) antara Rejab dan Ramadhan.”

Dari hadis tersebut dapat diambil pengertian bahwa bulan Rejab mempunyai keutamaan.

Adapun hadis yang menyebut: “REJAB ALLAH BULAN ALLAH, SYA’BAN BULANKU DAN RAMADHAN BULAN UMMATKU.” Adalah hadis munkar (hadis yang sama sekali tidak dapat dipercayai kebenarannya kerana diriwayatkan oleh seorang yang terkenal berkelakuan buruk dan tercela) dan sangat dhaif (sangat lemah). Bahkan banyak ulama’ yang menilainya sebagai hadis maudhu’ (palsu) dan tidak bernilai sama sekali, baik dilihat dari sudut ilmu mahupun agama. Demikian juga hadis-hadis lain yang diriwayatkan orang mengenai fadhilat bulan Rejab, seperti; Barangsiapa solat begini dan begitu, dia memperoleh pahala sekian, sekian. Barangsiapa beristighfar satu kali, dia beroleh pahala sekian, sekian…….! Semua itu merupakan hal yang sangat melebih-lebihkan dan jelas merupakan satu kepalsuan.

(Teks ini ada sambungannya tetapi saya tidak memanjangkan tulisan fatwa Dr. Yusoff al-Qardhawi kerana ‘kita’ memfokuskan kepada jawapan hadis tersebut dan tentang kelebihan bulan Rejab)



PUASA BULAN REJAB

Soalan:
Pada suatu hari saya pernah mendengar Ustaz (Al-Syeikh Dr. Yusoff) berbicara tentang bulan Rejab. Ustaz mengatakan bahawa mengenai itu tidak ada hadis sahih yang berasal daripada Rasulullah SAW. Jadi bagaimanakah hukumnya puasa bulan Rejab? Apakah itu termasuk sunnah ataukah bid’ah?

Jawab: (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi)
Saya tidak pernah mengemukakan masalah puasa bulan Rejab dalam kuliah saya yang didengar oleh saudara. Yang saya katakan ialah bahawa bulan Rejab termasuk empat bulan hurum (bulan mulia/diharamkan berperang padanya), dan berpuasa di dalam bulan-bulan hurum ini adalah maqbul (diterima) dan mustahab (dibolehkan). Tidak ada riwayat yang berasal daripada Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa beliau berpuasa sebulan penuh, selain dalam bulan Ramadhan. Dalam bulan-bulan hurum itu Rasulullah SAW paling kerap/sering berpuasa di dalam bulan Sya’ban, tetapi tidak sebulan penuh. Itulah sunnah Nabi SAW. Dalam masa empat bulan itu beliau ada kalanya berpuasa dan ada kalanya tidak, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud:

“Beliau berpuasa hingga kami katakan (sangka) bahawa beliau tidak berbuka-buka. Dan beliau berbuka sehingga kami katakan (sangka) beliau tidak berpuasa-puasa.”

Kini, ada orang yang dalam bulan Rejab berpuasa sebulan penuh, seperti yang kita lihat dahulu di beberapa tempat. Saya (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi) pernah menyaksikan sendiri ada sejumlah orang yang berpuasa terus-menerus selama bulan-bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Bahkan ditambah lagi dengan berpuasa enam hari pada permulaan bulan Syawal iaitu hari-hari yang mereka namai “Hari-hari Putih” (Ayyamul-Bidh). Setelah itu barulah mereka berhenti puasa. Mereka berhari raya pada tanggal 8 Syawwal, sebab pada tanggal 1 Syawal mereka tidak berpuasa. Tegasnya ialah mereka berpuasa terus-menerus selama tiga bulan dan eman hari. Hanya satu hari saja (1 Syawal) mereka tidak berpuasa. Berpuasa secara demikian itu tidak berasal daripada Nabi SAW, tidak berasal daripada para sahabat Nabi dan tidak pula berasal daripada kaum salaf yang soleh.

Yang terbaik ialah berpuasa beberapa hari dan tidak berpuasa beberapa hari, tidak berturut-turut tanpa putus-putusnya. Sebagaiman telah saya (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi) sebutkan pada bab terdahulu: Mengikut Jejak Salaf Adalah Kebaikan, dan Merekacpta Ibadah Adalah Keburukan. Oleh kerana itu sesiapa yang mengikuti jejak yang benar dan menginginkan pahala yang sempurna hendaklah dia mengikuti jejak Rasulullah SAW. Beliau tidak berpuasa sebulan penuh dalam bulan Rejab dan tidak pula dalam bulan Sya’ban.







==========================================

Pendapat mengenai amalan solat sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah

REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.


Kalendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud jangan seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah. Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil sah menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.

Hal ini diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah."

Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.

Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.

Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi.

Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.

Ibn Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."

Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan.

Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.

Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah.

Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

sumber:bharian

No comments:

Post a Comment

Komen apa yang patut