Saturday, December 20, 2008

**Tabiat merokok - Kesan Dan Akibatnya.

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)

Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Di Sekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang di sekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :

- Melahirkan bayi yang kurang berat badan

- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan

- Lebih terdedah kepada kanser

- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :

- Lebih mudah mendapat lelah

- Mendapat jangkitan paru-paru

- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu

- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

Statistik Kematian Akibat Tabiat Perokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Faedah Berhenti Merokok

- Hidup lebih lama

- Dapat menghindari racun

- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok

- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak

- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat

- Meningkatkan deria rasa dan bau

- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar

- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat..

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok

- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok

- Yakinkan diri

- Buat nota peringatan

- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"

- Tumpukan pada hari ini

- Sentiasa berfikiran positif

- Dapatkan sokongan

- Lawan keinginan untuk merokok

- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai

- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

Petua 10 M Untuk Berhenti Merokok

01. Melengah-lengah

02. Minum banyak air

03. Menarik nafas panjang

04. Membuat sesuatu

05. Menjauhkan diri dari tempat orang merokok

06. Mengunyah sesuatu

07. Membasuh tangan

08. Mandi dengan kerap

09. Melakukan senaman rengangan

10. Memohon doa

Firman Allah S.W.T. dalam surah ar-Ra'd ayat 11 bermaksud" "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Memang agak sukar bagi mereka yang sudah menjadikan tabiat merokok sebagai salah satu gaya hidup untuk terus berhenti. Namun begitu jika ada keazaman dan kesungguhan impian untuk berhenti merokok pasti menjadi kenyataan. Bak kata pepatah melayu "Di Mana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan".

"Setiap Sedutan, Membawa Padah

Al Anbiyaa’ ayat 105
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".



:bm:

No comments:

Post a Comment

Komen apa yang patut