Monday, November 10, 2008

KAEDAH ‘RECYCLE’ SURAT KHABAR MENGANDUNGI AYAT AL-QURAN

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Ulama berbeza pendapat dalam masalah bagaimanakah cara menghapuskan / melupuskan surat khabar , majallah atau buku-buku yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran’

Sebahagian Ulama mengatakan harus dibakar demi memelihara kesucian dan kemulian Al-Quran.Ada juga Ulama yang berpendapat , keratan akhbar atau majallah dan buku tersebut mestilah dibasuh / direndam dengan air supaya tulisan ayat al-Quran tersebut dapat dilarutkan / dihilangkan. Malah terdapat juga sebahagian ulama yang menyuruh agar ditanam.

Ibn Battal menafsirkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin malik ketika menceritakan tentang usaha pengumpulan Al-Quran di zaman Saidina uthman Al-‘Affan :

وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ


Dan (Uthman) memerintahkan agar dibakar segala mushaf atau sahifah yang selain daripada al-Quran (Rasm Uthmani). ( HR Bukhari , no : 4987 )

Dengan katanya :

في هذا الحديث جواز تحريق الكتب التي فيها اسم الله بالنار، وأن ذلك إكرامٌ لَها وصونٌ عن وطئها بالأقدام

Hadis tersebut menjadi dalil bahawa harus membakar dengan api buku-buku yang di dalamnya terdapat nama Allah swt sebagai menghormati / memuliakannya serta memelihara daripada dipijak. (Fath Al-Bari , 8 / 637)

Al-Zarkashi menyebut dalam Al-Burhan fi ulumil Quran , 1 / 477 :

أن الإحراق أولى من الغسل؛ لأن الغُسالة قد تقع على الأرض

Membakar lebih baik (diutamakan) daripada membasuh / merendamkannya dengan air , kerana air basuhan tersebut akan jatuh kebumi

Bagi Ulama-ulama syafi’e , mereka melarang membakar Al-Quran , kerana katanya membakar adalah bersalahan dengan tatacara menghormati al-quran itu sendiri sebagaimana Imam an-Nawawi sendiri menghukumkan makruh membakarnya [Al-Itqan fi ‘Ulumil Quran : 4 / 165]

Malah sebahagian Ulama mazhab Hanafi begitu juga dari kalangan mazhab Hambali tidak menggalakkan untuk dibakar , tetapi lebih diutamakan untuk ditanam dalam tanah [Al-Itqan fi ‘Ulumil Quran , 2 / 459]

Tarjih :

Berdasarkan kepada hujah dan pendapat para ulama di atas , maka jelaslah bahawa membakar al-Quran atau keratan-keratan akhbar , majallah dan buku-buku yang mengandungi kalam Allah itu lebih aula (baik/utama) daripada membasuh / merendam dan menanamnya.Ini kerana perbuatan membakar itu adalah perbuatan sahabat sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Uthman al-‘Affan ketika mana memerintahkan agar dibakar al-Quran / mushaf selain mushaf Uthmani yang mengandungi ayat-ayat yang telah di mansukh kan demi mengelakkan berlakunya percampuran antara mushaf.

[Ahkamusy Syar’iyyah li qurrail Quran al-Karim , Asy-Syaikh Dr.Mahmud Ahmad Sa’id al-Atrasy.]

No comments:

Post a Comment

Komen apa yang patut