Monday, July 15, 2013

Hukum Berpuasa Tapi Tidak Solat










1.Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, maka ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), maka para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.

Oleh : Ustaz Ahmad Fadzil


 2

 Syaikh Muhammad bin Sholih Al 'Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: "Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?"

Beliau rahimahullah menjawab:

"Puasa yang dilakukan oleh orang yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat termasuk bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta'ala,

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
"Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui." (Qs. At Taubah [9]: 11)

Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
"Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat." (HR. Muslim no. 82)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam juga bersabda,

الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
"Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir." (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa'i, Ibnu Majah. Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)

Pendapat yang mengatakan bahawa meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma' (kesepakatan) para sahabat.

'Abdullah bin Syaqiq –rahimahullah- (seorang tabi'in yang masyhur) mengatakan, "Para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu amalan yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir selain perkara solat." [Perkataan ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan bahawa hadits ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah di dalamnya. Dan sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]

Oleh karena itu, apabila seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah bermanfaat pada hari kiamat nanti.

Oleh sebab itu, kami katakan, "Solatlah kemudian tunaikanlah puasa." Adapun jika engkau puasa namun tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.
[Sumber: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah]
***
Penterjemah: Muhammad Abduh Tuasikal Artikel www.muslim.or.id

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino