Thursday, September 16, 2010

Kahwin: Jangan berlandaskan SEKS



Berdasarkan statistik perceraian terkini yang dilaporkan oleh JAKIM; sememangnya diakui kes perceraian makin menjadi-jadi dan statistik membuktikan juga banyak perkahwinan di bawah usia lima tahun terlibat dalam perceraian malah banyak lagi kes yang masih dalam usaha menyelamatkan perkahwinan tersebut.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:


Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat
 
Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama. Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin; kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumahtangga berantakan. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta; apabila harta tiada atau rupa tidak seperti tika mula hati jatuh cinta; perkahwinan akan goyah dan goncang.

Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri
 
Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba. Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak; suami dan isteri. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi; bukan satu kata putus tanpa perbincangan. Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai; bukan saja berikan keperluan nafkah, kasih sayang, perhatian malah termasuk juga mendidik isteri dan anak-anak; bukan sebagai kuasa untuk mengarah itu ini, agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberikan pendapat dan pandangan. Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat; tak perlu ditaati.

Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan

Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami. Bila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya yang memungkinkan cinta yang ada pudar dan hilang dan usaha untuk keluar daripada perkahwinan dilakukan.

Kurang ilmu rumahtangga dan perkahwinan
 
Hampir 75% pasangan yang bercerai dikenal pasti sebagai individu yang kurang ilmu berkaitan perkahwinan dan rumahtangga. 20% lagi ialah individu yang tahu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diketahui sementara bakinya ialah individu yang hanya memikirkan perkahwinan ialah layanan seks semata-mata.

Kurang atau hampir tiada iman

Rata-rata kes yang saya kendalikan; punca utama runtuhnya sesebuah perkahwinan ialah kerana kurang atau hampir tiada langsung ilmu dan iman. Tak kiralah kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri atau sebelah pihak sahaja samada suami atau isteri. Namun, 90% perkahwinan hancur apabila sebelah pihak tidak beriman kepada Allah SWT. Iman kepada Allah SWT merupakan asas kebahagiaan di dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkahwinan. Individu yang mantap iman dan taqwanya kepada Allah akan berusaha sedaya upayanya melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya termasuk berusaha yang terbaik untuk perkahwinan dan rumahtangganya agar sentiasa diredhai Allah. Kurang atau tiada iman menyebabkan individu terlibat tidak kisah dan bebas melakukan perkara yang melanggar syarak dan menyakitkan hati pasangan.

Usaha penting agar perkahwinan kekal hingga ke akhir hayat ialah menjaga solat. Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan tawaddhuk akan menghalang individu daripada terlibat dengan perkara keji yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan.
****Cermin Diri Kosmo! siaran 23 Julai 2010

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino