Thursday, October 15, 2009

Taman Geopark Langkawi


Taman Geopark Langkawi - Tarikan Menarik dan Pengalaman Sukar Dilupakan
 KLIK SINI
Gugusan Kepulauan Langkawi terdiri dari 99 pulau di Lautan Andaman, terletak 30 km ke barat-daya Semenanjung Malaysia. Sewaktu air pasang pula, barulah anda dapat melihat lima pulau lain di sekitar sini.

Kawasan pantai dengan pasir putih dengan perairan tropika di kepulauan ini menjadikan ia tempat sesuai untuk bersantai, bersukan dan bergembira.

Kebanyakan kawasan luar pulau pula dibentuk daripada marmar dan batu kapur, sementara Pulau Langkawi dibentuk daripada pasir dan batuan granit. Pembentukan menarik geologi pulau ini menjadikan ia tempat sesuai untuk hidupan fauna dan flora.

Menurut legenda, Langkawi mendapat nama melalui kombinasi perkataan helang (kerana dahulu banyak burung helang dilihat di sini) dan perkataan Sanskrit untuk ‘kawi' (iaitu pembentukan batu marmar yang banyak terdapat di pulau ini).

Versi lain pula menceritakan asal nama ialah dari perkataan Sanskrit Langka (kecantikan) dan wi (banyak).
STATUS TAMAN GEO DUNIA 

Tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 31 Mei 1996, mengiktiraf Langkawi sebagai Taman Geodunia, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan yang ke-52 di dunia.
KLIK
Terma Taman Geo (lebih dikenali sebagai Geopark)  ini merujuk kepada kawasan pembentukan batu-batan dengan landskap yang unik, yang terdapat dengan banyak di Langkawi. Malah, sedekad kemudian pada 1 Jun, 2007, Langkawi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diberikan status Taman Geo Dunia oleh UNESCO, selain tersenarai dalam Rangkaian Global Taman Geo UNESCO.

Taman Geo Langkawi merangkumi 6 pembentukan geologi dan 90 tapak geologi daripada 438 tapak yang dikenalpasti di Malaysia. Ia turut menunjukkan kombinasi hutan Geo seperti:
 *
 Hutan Cambrian Geo Machinchang
 *
 Hutan Karst Geo Kilim
 *
 Hutan Geo Marmar Dayang Bunting
Langkawi turut terkenal sebagai satu-satunya Taman Geo yang mempunyai status bebas cukai.

HUTAN GEO DUNIA CAMBRIAN MACHINCHANG

Hutan Geo Dunia Cambrian Machinchang mempunyai pembentukan geologi tertua di Malaysia sejak Zaman Cambrian kira-kira 510 juta tahun lepas, apabila dunia mulai dihuni oleh pelbagai jenis invertebrate.

Antara tarikan yang terbentuk akibat proses geologi itu adalah seperti Air Terjun Temurun dan Telaga Tujuh, sisa pulau Anak Burau dan Anak Datai serta kawasan pantai Teluk Datai dan Pantai Kok.

Hutan simpan Gunung Machinchang mempunyai pelbagai himpunan kaya hidupan fauna dan flora. Pelawat ke sini boleh memilih untuk menggunakan trek atau menaiki kereta kabel merentasi kanopi hutan, ke puncak setinggi 709 meter. Anda dapat melihat pemandangan cantik pulau Langkawi, Kedah di tanah besar dan juga pada hari cerah, negara Thailand yang terletak di bahagian selatan. Puncak Machinchang turut mempunyai bentukan geologi yang tercantik di pulau ini.
HUTAN GEO KARST KILIM 

Topografi karst adalah landskap yang dibentuk oleh air tadahan bawah tanah yang meresap ke dalam batu-batan seperti batu kapur. Ini menjadikan pelbagai bentuk menarik seperti terowong, gua dan lubang udara dan sebagainya.

Air bawah tanah juga meresap membentuk suatu landskap menarik yang cantik, tetapi terdedah kepada hakisan dan pencemaran.

Hutan Taman Geo Kilim turut mempunyai bentukan batu kapur cantik di bahagian timur pulau ini. Selain itu, ia juga terdapat di kawasan pertemuan tiga sungai di Kilim, Air Hangat dan Kisap serta pulau Langgun dan Tanjung Dendang.

Di beberapa perhentian di sepanjang sungai, terdapat pula aktiviti memberi makanan kepada burung helang, yang terdapat dengan banyak di sini. Antara spesies yang didapati di sini termasuk burung helang brahminy, burung helang laut serta banyak lagi. Sungai Kilim adalah tempat sesuai untuk memerhati burung, terutamanya waktu perubahan musim antara bulan September dan Mac.

Gua-gua juga banyak di sini, di kawasan Taman Geo Kilim dan terdapat pelbagai cara untuk ke tempat ini.

Gua Buaya boleh dikunjungi menggunakan bot, kerana Sungai Kilim mengalir masuk ke gua ini. Pelawat juga boleh berjalan di atas titi kayu yang merentasi kawasan paya bakau untuk ke Gua Kelawar, yang dinamakan sempena penghuninya, Kelawar Buah Malaysia.

Gua terkenal Langkawi, Gua Cerita, dapat dihubungi dengan mudah menggunakan bot dari Tanjung Rhu. Di dinding gua ini terdapat ayat-ayat berbahasa Arab yang dipercayai, ayat Al-Quran.

Gua Pinang terletak di kawasan yang telah ditenggelami sejak beribu tahun yang lampau. Ini kerana terdapat banyak tinggalan lama siput laut yang tertanam di dinding gua.

HUTAN GEO MARMAR DAYANG BUNTING 

Salah satu ciri unik Hutan Geo Marmar Dayang Bunting adalah Tasik Dayang Bunting, yang terbentuk sewaktu salah satu bongkah besar batu kapur di gua tersebut terjatuh. Nama itu adalah gabungan himpunan batu marmar dan granit yang membentuk figura seorang wanita mengandung sedang baring. 

Penduduk setempat percaya bahawa air di tasik ini mempunyai kuasa mistik yang dapat menjadikan seorang wanita itu subur. Kawasan hutan bakau yang terletak di Selat Dayang Bunting pula menjadi satu lagi tarikan ekologi kawasan ini. 

Gua Langsuir yang terletak di bahagian barat Pulau Dayang Bunting hanya dicadangkan untuk pendaki gua yang pakar sahaja. Ini kerana stamina dan skil mendaki yang tinggi diperlukan untuk mengikuti laluan yang cerun dan mencabar. 

Gua ini juga dipercayai oleh penduduk setempat menjadi tempat kediaman Langsuir, kerana suara nyaring yang sering terhasil dari sini. Malah, ia digeruni penduduk di sini. Sebenarnya, gua yang malap dan besar ini dihuni oleh beribu-ribu kelawar.

Pulau Langkawi suatu destinasi yang eksotik dan mempunyai pelbagai kecantikan alam semulajadi, akibat proses pembentukan geologi. Ia menjadikan Langkawi sebuah tempat di mana legenda, sejarah, kebudayaan serta pembentukan geologi yang menarik suatu misteri yang masih diterokai.

Bagi mereka yang menggemari cabaran, Langkawi menjanjikan suatu kelainan dan pengalaman yang sukar dilupakan.

0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino