Thursday, December 18, 2008

**Kewanitaan Dalam Islam.


Wanita ibarat bunga. Bagaimanapun kecantikan dan keindahannya pada pandangan mata hanya bersifat sementara.. Sedangkan yang berkekalan menjadi pujaan manusia, adalah wanita yang mulia akhlaknya. Dengan memiliki kemuliaan akhlak ini ke mana-mana sahaja dia pergi pasti akan menjadi sanjungan masyarakat di sekelilingnya.

Tiada gunanya berwajah cantik tetapi memiliki akhlak yang buruk. Tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong daripada ilmu. Ibarat bunga, ada yang cantik bila dipandang tetapi busuk baunya. Ada pula yang kurang menarik dan baunya juga kurang menyenangkan. Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar tetapi bila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya. Kerana itulah kita tidak seharusnya menilai seseorang itu daripada pandangan mata kasar semata-mata.

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Kita juga pasti pernah mendengar - tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dirasai oleh wanita solehah.

Kerana itulah sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah. Sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah. Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. Sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya.


Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, bersesuaian pula dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredaan Allah.

Rasulullah s. a. w.dalam sabdanya yang bermaksud: "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu."

Kemuliaan manusia hanyalah dalam agama sejauh mana mereka dapat mentaati perintah Allah dengan cara Nabi s. a. w. Allah telah mengurniakan kepada wanita dengan pelbagai kelebihan. Syarat untuk wanita masuk syurga begitu mudah.

Manakala Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi s. a. w bersabda: "Seorang wanita solehah lebih baik daripada 1000 lelaki yang tidak soleh. Dan, seorang wanita yg melayan suaminya selama seminggu maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka lapan pintu syurga yang mana dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa hisab."

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s. a. w bersabda: "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya."


0 comments:

 

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino